Showing posts with label Muhasabah. Show all posts
Showing posts with label Muhasabah. Show all posts

Tuesday, March 13, 2012

sakit@32 minggu


Bagi wanita yang mengalami kesakitan atau ketidakselesaan pada bahagian abdomen bawah, dan telah menjalani ujian dan pemeriksaan doktor, saya nasihatkan agar banyak bersabar.

Seperti mana yang saya selalu tuliskan, dengan bersabar, minda kita akan mudah menerima ujian Allah ini dan tubuh kita akan lebih mudah menerima kesakitan ini.

Jangan banyak berfikir tentang kesakitan dan ketidakselesaan itu, amalkan membaca al Quran dan zikir yang sahih. Petua-petua ini telah menjadi amalan berkurun-kurun oleh solefussoleh, isteri dan anak-anak mereka. Semoga Allah memberikan kita kekuatan untuk bersabar dan berjuang untuk terus menjalani kehidupan. Ameen.

Friday, December 24, 2010

Mahabbah

Assalamualaikum.

Rasanya masa berlalu begitu pantas. Semakin hari, usia bertambah. Begitu juga dengan anakanda tersayang, Aisyah Humaira telah mencecah usia 9 bulan. Masih menyusu badan, alhamdulillah. Syukur di atas kurnia yang diberikan oleh Yang Maha Esa. Semakin lincah dengan pelbagai ragam. Budak kecik nak membesar, banyak akalnya, kan.

Usia perkahwinanku juga sedang menghampiri angka 2 tahun tak lama lagi. Masih banyak yang perlu diperbaiki dari segala segi untuk meraih rumahtangga yang sentiasa di dalam mawaddah wa rahmah dari Ilahi. Kehadiran cahaya mata mengeratkan lagi kasih sayang di dalam ikatan perkahwinan selain hadirnya dengan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh teliti.

Semoga mahabbah di dalam rumahtangga kami akan sentiasa dirahmati Allah s.w.t, insyaAllah. Ameen.

*Sekadar peringatan buat diri yang sentiasa alpa.

RESEPI MENYUBURKAN KASIH SAYANG DALAM KELUARGA
- Mentradisikan pergaulan yang baik dalam keluarga
- Membantu keluarga dalam pekerjaan rumah
- Menghidupkan suasana belajar-mengajar dalam rumah
- Menghidupkan ibadah & syariat dalam keluarga
- Tidak menampakkan konflik di depan anak-anak

CARA MENGHINDARKAN DIRI & KELUARGA DARI TIPU DAYA SYAITAN:
x Berlindung kepada Allah SWT dari kejahatan syaitan
x Ikhlas hanya kepada Allah SWT
x Istiqamah dalam Islam
x Tawakkal kepada Allah SWT
x Menjadikan iblis & syaitan sebagai musuh abadi

Friday, October 01, 2010

Semakin Jauh Di Jalan Ini...

Alhamdulillah diri ini telah menginjak satu tangga lagi di dalam kehidupan… Menjadi seorang ibu. Pastinya bukan amanah yang calang-calang, kerana bayi comel ini insyaALLAH bakal membesar menjadi penolong agama ALLAH seterusnya.


Jika ingin anak ini merintis jalan dakwah yang memimpin ke taman syurga, diri ini terlebih dahulu harus memasakkan syaksiah muslimah wa daieyah. Harus BERSUNGGUH menjadikan syurga destinasi yang ingin dituju. Menjadi anak, isteri, ibu dan hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Di lembaran kali ini, dikongsikan petikan ayat-ayat yang mentazkirah diri ini untuk menjadi lebih kuat dan sabar. Untuk istiqamah dan bersedia berkorban.

* * *

Semakin jauh kita berada di jalan dakwah dan pentarbiyyahan, semakin menuntut kualiti ruhiyyah yang tinggi kepada ALLAH. Kerana ujian dan kesulitannya semakin hebat, medannya sangat mencabar keikhlasan, jalannya sangat panjang, berliku dan melelahkan..

Kita memegang amanah yang besar, iaitu untuk membentuk kesolehan peribadi sendiri dan orang lain. Dituntut pengorbanan mengurangi waktu tidur untuk menghidupkan hati dengan tilawah dan tadabbur, mengurangkan waktu istirehat untuk menambah khazanah keilmuan, mengurangkan perbelanjaan keperluan peribadi untuk keperluan dakwah..

Berusaha meluangkan waktu untuk sama-sama berjuang menapaki pentarbiyyahan dengan segala kemampuan yang kita miliki. InsyaALLAH pengorbanan penuh keikhlasan dan perancangan akan menyebarkan keberkahan dakwah pada ummah yang dicintai, insyaALLAH.

Selamat memperbaharui komitmen di jalan dakwah dan tarbiyyah...

Petikan daripada http://sisi-kehidupan.blogspot.com/

Friday, December 04, 2009

Jom Mujahadah !

Kadangkala hati resah gelisah tanpa mengetahui asbab ia begitu. Namun, sebagai seorang Muslim, kepada Allah s.w.t jualah kita kembali. Kemungkinan diri telah alpa dengan nikmatNya. So.......................................apa lagi??? Jom Mujahadah !!!

  • Bertegas dengan yang wajib
  • Gembirakan hati dengan solat-solat sunat
  • Say NO to HARAM !
  • Tinggal @ lupakan pada perkara-perkara yang makruh
  • Buat sedikit tetapi berterusan
  • Tak boleh buat semua jangan tinggal semua
  • Allah amat mengasihi kepada orang yang beramal bersunguh-sungguh
  • Beramal dari sedikit ke banyak
Wallahu'alam.

Friday, May 29, 2009

Blog Isteri & Suatu Peringatan Buat Pemilik Blog dan Forum Maya

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Semenjak saya membuat keputusan agar isteri berhenti kerja pada tahun 2006, seribu satu macam perancangan saya fikirkan untuk beliau. Ada yang sudah tercapai dan ada yang masih dalam perjalanan. Manakala sebahagian lagi masih di dalam perancangan di minda saya. Menunggu pulang ke tanahair dan perlu melihat situasi semasa di ketika itu.

Antara perancangan yang dilihat mampu dibuat dalam kadar segera adalah menajamkan kemahiran penyampaian ilmunya melalui tulisan. Ia amat baik kerana setiap entry yang ingin dimasukkan, si penulis biasanya akan teruji untuk mengemaskinikan peta kandungan yang ingin disampaikan. Namun ia bergantung juga kepada jenis kandungan yang ingin dikongsikan. Ada banyak juga blog yang berkongsi ‘entah apa-apa' yang tidak perlukan perancangan peta kandungan di minda semasa menulis. "Bak kata seorang rakan saya :
"Main lanyak aja"


BLOG ISTERI
Tahniah dan segala puji ke hadrat Allah swt, hasrat saya untuk mengajak isteri tercinta terlibat dalam aktviti dakwah fardiah melalui blog tercapai jua. Semoga kami diberi kekuatan untuk terus menyumbang sesuatu yang bermanfaat buat ummah. Khususnya buat para muslimah, yang masih bujang atau sudah berumah tangga.


Blog isteri saya, inshaAllah akan berkongsi pengalaman hidup dan pengajaran. Kami akan cuba pastikan setiap entry punyai pengajaran, bukan bertujuan membazirkan waktu kosong dengan kisah-kisah diri ke sana dan kemari, ke situ dan ke sini, tanpa mesej pengajaran yang jelas.
Kami berdoa, agar ruang yang wujud ini akan menjadi penambah peluang untuk meraih rahmat Allah SWT dan tidak menjadi beban buat kami kelak di akhirat.
Sila klik untuk membuka BLOG ISTERI SAYA

Setiap pemilik blog sememangnya bebas untuk memuatkan apa jua coretan dan gambar yang mereka sukai, namun mereka juga WAJIB bertanggungjawab untuk memastikan entrynya tidak menggalakan pembaziran waktu dan masa diri sendiri dan pembaca tanpa mesej jelas. Selain itu, WAJIB pula dijaga dari sebarang komen buruk dan negatif terhadap Islam.

JAGA-JAGALAH PEMILIK FORUM
Sama seperti forum-forum yang begitu pelbagai di internet hari ini. Terdapat forum politik, forum perbincangan agama, forum remaja, forum pelbagai dan lain-lain.

Namun agak malang juga apabila melihat sebahagian forum TIDAK TERKAWAL kandungannya. Benarlah, ia memberikan sebahagian manfaat tetapi ia turut membarahkan masalah sosial, akhlak dan agama apabila melepas bebaskan pemberi komen, penghantar artikel untuk menulis apa sahaja.

Pemberi komen di forum dan blog hari ini ada yang bertukar watak syaitan ketika memberi komen, berselidung di sebalik nama palsu dan umum. Sama seperti manusia di jalan raya di Malaysia (bukan di UK), watak sebenar seseorang individu kerap terzahir ketika memandu, ramai tidak disangka ia seganas itu, tetapi itulah dia.

Jika masih ingin memberikan kebebasan umum kepada pelawat, pemilik blog atau forum MESTI mempunyai tenaga pakar yang memantau dan menjawab dengan cepat serta pantas agar setiap idea yang ditulis oleh pelawat yang rencam latarbelakangnya ini dapat ditapis dan dijaga.

"Jika tidak dijaga, adakah pemilik forum berdosa ya ustaz?" itu pertanyaan seorang pelajar kepda saya semasa mengadakan satu kuliah Mawlidur Rasul di UK.

"Sudah tentu!.. biasanya forum bertema politik adalah yang paling meriah dengan dosa fitnah, mengumpat dan lainnya, forum lain juga banyak tapi saya tidak tahu sama ada ia wujud atau tidak "

Ingatlah, bukankah Nabi s.a.w menyebut di dalam hadis sohih Al-Bukhair dan Muslim :

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته
"Setiap kamu adalah penjaga dan bertanggungjawab ke atas apa yang dijaganya.." jawab saya ringkas.

"Bagaimana adakalanya terdapat beberapa orang yang bukan khusus dalam bidang agama, tetapi mengulas pendapatnya, sedangkan pendapat itu mungkin bertentangan dengan Islam" Dia bertanya lagi.

Tidak salah seseorang mengutarakan pendapat, cuma bimbangnya agak semakin meluas hari ini terlalu ramai merasakan pendapatnya adalah paling tepat tanpa menghiraukan pandangan ulama Islam berasaskan al-Quran dan As-Sunnah. Semakin ramai juga tidak mengetahui kejahilan diri, tidak menyedari sempadan ilmu yang dimiliki. Ia tanda dunia semakin mengelirukan, kebenaran semakin berkabus, sukar dituju dan dilihat.

Memang benar, manusia yang paling sesat adalah manusia yang jahil dan tidak mengetahui berkenaan kejahilannya.

Malangnya, kumpulan ini semakin bertambah jumlahnya dan kalau dulu, tiada ramai terkena mudarat dari mereka, tidak ramai pula kenalan mereka. Namun hari ini di waktu kemunculan blog percuma, forum dan media internet, idea kejahilan pembawa racun mereka tersebar meluas, pantas beredar di dalam minda ramai yang juga jahil. Maka lahirlah kumpulan yang jahil lagi menyesatkan dan terus berkembang.

Ibn Umar berkata :

العلم ثلاثة، كتاب ناطق، وسُنّة قائمة، ولا أدري

Ertinya : "Ilmu itu punyai tiga cabang, al-kitab yang bertkata ( nas alquran), sunnah baginda nabi yang lalu, dan kata-kata "aku tida tahu" ( Uyun al-Akhbar, 5/130 ; Riwayat Al-Khatib secara Mawquf )

Jika keadaan itu berlaku di dalam sesuatu forum, pemilik forum perlu menentukan sikap dan kaedah pengendalian forumnya, sama ada untuk terus memadam atau meluluskan dengan jawapan dari panel mereka yang faham bab agama.

Nasihat saya buat pemilik forum, bertaqwalah kepada Allah. Jangan sampai forum yang dimiliki menjadi asbab ke neraka, jadikan ia kunci kepada rahmat ilahi untuk ke Syurga. Namun, jalan ke syurga adalah dengan duri dan payah, jalan ke neraka dengan syahwat dan seronok, demikian tegas baginda Nabi s.a.w.

Sahabat Nabi bernama Abdullah Ibn Mas'ud r.a berkata :-

لايزال الناس بخير ما أخذوا العلم عن أكابرهم، وعن أمنائهم وعلمائهم، فإذا أخذوه عن صغارهم وشرارهم هلكوا

Ertinya : Sentiasalah manusia berada dalam keadaan baik selagimana mereka mengambil ilmu dari orang berpengalaman (berusia), mereka yang amanah dan para ulama mereka, dan atatakala mereka mengambil ilmu dari mereka yang kurang pengalaman (muda remaja) dan yang jahat, nescaya mereka akan mula hancur" ( Jami' Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih ; 1/616 )

Ulama berbeza pendapat mentafsir perkataan "as-Sighar atau muda dalam athar di atas.

Ibn Qutaibah : ertinya individu usia muda tandanya umurnya masih kecil dan giginya masih kecil.

Umar Al-Khattab berkata :

قد علمت متى صلاح الناس ، ومنى فسادهم : إذا جاء الفقه من قبل الصغير ، استعصى عليه الكبير ، وإذا جاء الفقه من الكبير تابعه الصغير فاهتديا

Ertinya : "Telah aku tahu bilakah manusia menjadi baik dan menjadi buruk. Apabila datang kefahaman hukum Fiqh dari orang muda, nescaya mereka akan sentiasa bercanggah dengan orang tua, namun apabila kebijaksanaan fiqh itu datang dari orang tua, yang muda akan mengikutinya dan sama-sama mendapat hidayah." (Jami' Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih ; Ibn Abi Al-Barr)

Terdapat juga ulama yang membawakan tafsiran muda boleh membawa erti fizikal umur dan juga secara maknawi iaitu umur tua tetapi ilmunya masih muda dan seperti kanak-kanak.

Kesimpulan dalam bab ini, ambillah ilmu dari mereka yang berpengalaman, sebaiknya yang berusia lagi alim. Namun sekiranya yang berusia sudah pupus yang alim dan tinggi ilmunya, sehingga ramai mula mengambil ilmu dari ilmuan muda. Itu antara tanda akhir zaman .

Nabi bersabda :

إن من أشراط الساعة أن يلتمس العلم عند الأصاغر

Ertinya: Sesungguhnya salah satu dari tanda hampirnya kiamat adalah orang menuntut ilmu dari mereka yang muda (fizikal dan umur, atau boleh juga membawa maksud orang kurang ilmu dan pengalaman)" ( Riwayat al-Lalakie; hadis sohih, 1/102)

GAMBAR, BLOG DAN FRIENDSTER
"ana rasa anta patut tulis satu artikel berkenaan etika berblog, khususnya blogger wanita muslimah" kata seorang ustaz popular kepada saya semasa menziarahi rumahnya.

Elok juga sebenarnya jika beliau sendiri yang menulis topik itu berbanding meminta saya untuk menulisnya.

Namun memang benar, ada diantara pemilik blog yang tiada menjaga auratnya, dipaparkan gambarnya di rumah yang adakalanya tidak sempurna tutupan auratnya, jika sempurna pun terlalu banyak gambar dirinya sehingga boleh membuat pembaca yang kurang beriman ditarik
Syaitan untuk melihat dengan ‘pandangan tembus baju' di setiap gambar-gambarnya di blog, selain itu, banyak juga gambarnya yang sedang duduk dengan pelbagai gaya, malah berbaring.

Selain blog, ruangan facebook dan friendster juga menjadi tempat sumbatan ribuan gambar dengan pelbagai gaya. Padahal berita rasmi sudah memaklumkan bahawa setiap info dan gambar di facebook, adalah hak milik facebook dan tidak boleh dipadam buat selamanya oleh tuan punya gambar.

Justeru itu, berpadalah dan fahamilah, diri ini bukan milik kita, ia milik Allah swt dan tertakluk dengan batas-batasan yang ditentukan Allah swt. Bukan tidak boleh meletak gambar tetapi wajiblah menutup aurat penuh, dalam kedudukan yang sopan dan seterusnya tidaklah pula terlalu banyak sehingga boleh membuka ruang fitnah. Khususnya seorang wanita yang boleh saja seorang lelaki jahat memetik gambarnya lalu dibomohkan.

AKHIRNYA
Apapun pengisian bermanfaat dari blog kami dan anda kepada pembaca, ingatlah wahai pembaca, ilmu yang dipelajari semata-mata dari blog dan buku tidak mampu memberikan segalanya buat anda. Carilah ia dari guru dan dari mulut sang guru. Tanpa memperolehinya dari mulut sang guru, ia mungkin sahaja membawa kepada kefahaman yang lain dan maksud yang salah.

Imam As-Syafie berkata :-

من تفقه من بطون الكتب ضيع الأحكام
Ertinya : Sesiapa yang mengaji dan mempelajari ilmu hanya dari perut-perut kitab, akan hilanglah hukum-hakam; ( Tazkirat as-Sami'; hlm 87 )

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
30 Mac 2009

Nurwidad : Semoga kita terpelihara daripada kemungkaran di dalam setiap penghasilan karya penulisan untuk blog masing-masing. Inilah perkara yang saya fikirkan sebelum wujudnya blog ini. Apa yang diharapkan agar setiap artikel yang dimuatkan di dalam blog ini memberi manfaat buat saya sendiri khususnya dan pembaca amnya.

Sebarkan setiap kebaikan dan peringatan sesama muslim agar kita sentiasa berusaha untuk menjadi mukmin yang bertaqwa, insyaAllah.

Wednesday, May 20, 2009

Berani Melakukan Dosa ?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


"Wahai orang yang mati hatinya, wahai orang yang menghidupkan nafsunya; hati yang mati adalah hati yang lupa kepada Allah Azza wa Jalla, dan lupa berdzikir kepada-Nya. Maka barangsiapa yang menginginkan hatinya hidup, maka biarkanlah dzikir kepada Zat al-Haq Azza wa Jalla".


(Syekh Abdul Qadir al-Jailani berkata dalam bukunya: al-Fathur-Rabbani wal Faidl ar-Rahmani halaman 164)


Tanda bagi hati yang mati ialah suka melakukan perkara-perkara kemaksiatan dan dosa.


Ingatlah wahai diri dan sekalian muslim. Muhasabah diri kita masing-masing. Jika diri terarah untuk melakukan sebarang perkara ke arah kemaksiatan dan dosa, kembalilah ke jalan Allah s.w.t.


Sebab-sebab hati mati


  1. Rajin belajar, tetapi tidak beramal

Firman Allah,


"Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."


Surah As-Saff, ayat 2,3


2. Rajin beramal, tetapi tidak ikhlas


3. Makan rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t, tetapi tidak bersyukur


4. Tidak redha dengan ketentuan Allah s.w.t


5. Rajin menziarahi kematian, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya


6. Berani melakukan dosa


Mari kita ikuti kisah ketegasan Sayyidina Umar Ibnu Al-Khattab menjalankan hukum Allah walaupun terhadap anak kandung beliau sendiri yang telah melakukan dosa.


Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan ketegasannya dalam menjalankan hukum-hukum Allah. Dengan sebab ketegasannya itulah, orang merasa segan dan hormat kepadanya.


Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak laki-laki, di antaranya ialah Abdul Rahman bin Umar. Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.


Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu penyakit yang dideritainya selama kira-kira setahun. Berkat kesabaran dan usahanya akhirnya penyakit tersebut dapat disembuhkan. Sebagai mensyukuri dan tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu Syahamah yang sudah lama tidak keluar rumah itu menghadiri majlis jamuan besar-besaran di sebuah rumah perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang juga terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada larangan Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.


Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi pagar kaum Bani Najjar. Dia ternampak seorang perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk melarikan diri sehingga berjaya mencakar muka dan mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia tidak berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah dikuasai oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.


Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah sampai masanya anak yang dikandung oleh perempuan itu pun lahir, lalu dibawa ke Masjid Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin bagi mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya. Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu itu ialah Sayyidina Umar ibnu Khattab.


"Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana engkaulah yang lebih bertanggungjawab untuk memeliharanya daripada aku." Mendengar kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa terkejut dan hairan. Perempuan itu berkata lagi: "Anak damit ini adalah keturunan darah daging anak tuan yang bernama Abu Syahamah." Sayyidina Umar bertanya: "Dengan jalan halal atau haram?" Perempuan itu dengan berani menjawab: "Ya Amirul Mukminin, Demi Allah yang nyawaku di tanganNya, daripada pihak aku anak ini halal dan daripada pihak Abu Syahamah, anak ini haram."


Sayyidina Umar semakin kebingungan dan tidak faham maksud perempuan Bani Najjar ini lalu menyuruh perempuan ini berterus terang. Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar peristiwa yang menimpa dirinya sehingga melahirkan anak itu.


Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu sehingga menitiskan air mata. Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: "Wahai perempuan jariyah (jariyah adalah panggilan budak perempuan bagi orang Arab ) , ceritakanlah perkara yang sebenarnya supaya aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan sebenar-benarnya dan seadil-adilnya." Perempuan itu menjawab: "Ya Amirul Mukminin, penjelasan apa yang tuan kehendaki daripadaku? Demi Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku sanggup bersumpah di hadapan mushaf al-Qur'an."


Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur'an dan perempuan itu pun bersumpah bermula dari surah al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian bertegas lagi: "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini adalah dari darah daging anakmu Abu Syahamah." Kemudian Sayyidina Umar berkata: "Wahai jariyah! Demi Allah engkau telah berkata benar." Kemudian beliau berpaling kepada para sahabat, katanya "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di sini sehingga aku kembali."


Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil membawa wang dan kain untuk diberikan kepada perempuan malang itu: "Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak tiga puluh dinar dan sepuluh helai kain ini dan halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di dunia ini dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu berhadapan dengan Allah nanti."


Perempuan itu pun mengambil wang dan kain yang diberikan oleh Sayyidina Umar lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan anaknya. Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku kembali."


Sayyidina Umar terus pergi menemui anaknya Abu Syahamah yang ketika itu sedang menghadapi hidangan makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata: "Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir bekalanmu untuk kehidupan dunia." Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut seraya berkata, "Wahai ayahku, siapakah yang memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."


Kata Sayyidina Umar: "Wahai anakku, berkata benarlah sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan Dialah Maha Luas Penglihatannya."


Sambung Sayyidina Umar lagi: "Masih ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke satu majlis di perkampungan Yahudi dan mereka telah memberikan kamu minum arak sehingga kamu mabuk? Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan seorang perempuan lalu memperkosanya? Berkata benarlah anakku, kalau tidak engkau akan binasa."


Abu Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan perasaan malu sambil diam membisu. Dengan perlahan beliau membuat pengakuan: "Memang benar aku lakukan hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku itu." Sayyidina Umar menegaskan: "Tiada guna bagimu menyesal setelah berbuat suatu kerugian. Sesungguhnya engkau adalah anak Amirul Mukminin tiada seorang pun yang berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."


Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah lalu membawa ke tempat para sahabat yang sudah sekian lama menunggu. "Mengapa ayahanda melakukan ini?" Tanya Abu Syahamah. "Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia supaya aku dapat lepas daripada dituntut di akhirat kelak," jawab Sayyidina Umar dengan tegas.


Abu Syahamah dengan cemas merayu: "Wahai ayahandaku, aku mohon dengan nama Allah, tunaikanlah hak Allah itu di tempat ini, jangan malukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam." Jawab Sayyidina Umar: "Engkau telah membuat malu dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik ayahmu."


Apabila sampai di hadapan para sahabat mereka pun bertanya: "Siapakah di belakangmu wahai Amirul Mukminin?" Jawab Sayyidina Umar: "Wahai sahabatku, sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku sendiri dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah perempuan yang menyampaikan khabar tadi."


Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya (hambanya): "Wahai Muflih (tukang sebat), pukullah anakku Abu Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit, jangan kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan kerana Allah." Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana khuatir tindakannya itu akan memberi mudharat kepada Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah apabila diperintah oleh Sayyidina Umar.


Tatkala dia memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu Syahamah dalam kesakitan: "Wahai ayahandaku, rasanya seperti api yang menyala pada jasadku." Jawab Sayyidina Umar: "Wahai anakku, jasad ayahmu ini terasa lebih panas dari jasadmu."


Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul sebanyak sepuluh rotan lagi. Berkata Abu Syahamah: "Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku dapat mengambil sedikit kesenangan."Jawab sayyidina Umar: "Seandainya ahli neraka dapat menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan kepadamu kesenangan."


Setelah itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah merayu: "Wahai ayahandaku aku mohon kepadamu dengan nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku dapat bertaubat." Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: "Wahai anakandaku, apabila selesai aku menjalankan hak Allah, jika engkau hendak bertaubat pun maka bertaubatlah dan jika engkau hendak melakukan dosa itu lagi pun maka lakukanlah dan engkau akan dipukul seumpama ini lagi."


Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali sebatan lagi. Abu Syahamah terus merayu: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu berilah aku minum seteguk air." Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: "Wahai anakandaku, seandainya ahli neraka dapat meminta air untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air minum."


Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Abu Syahamah mohon dia dikasihani: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku." Sayyidina Umar dengan sayu menjawab: "Wahai anakandaku, kalau aku kasihankan kamu di dunia, maka engkau tidak akan dikasihani di akhirat."


Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali sebatan. Abu Syahamah dengan nada yang lemah berkata: "Wahai ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan aku begini sebelum aku mati?" Sayyidina Umar menjawab: "Wahai anakandaku, aku akan hairan kepadamu sekiranya engkau masih hidup dan jika engkau mati kita akan berjumpa di akhirat nanti."


Sayyidina Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Dalam keadan semakin lemah Abu Syahamah berkata; "Wahai ayahandaku, rasanya seperti sudah sampai ajalku....." Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: "Wahai anakandaku, jika engkau bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, sampaikan salamku kepadanya, katakan bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati."


Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus menyuruh Abu Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan kudrat yang semakin lemah berusaha memohon simpati kepada para hadirin: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa kamu tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan aku saja?"


Kemudian salah seorang sahabat pun menghampiri Sayyidina Umar dan berkatas: "Wahai Amirul Mukminin, hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan kasihanilah dia." Sayyidina Umar dengan tegas berkata: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, apakah kamu tidak membaca ayat Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 ::


Maksudnya;


"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. "


Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara itu Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul sepuluh sebatan lagi.


Akhirnya Abu Syahamah mengangkat kepala dan mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi sehingga hari kiamat.


Kemudian berkata Sayyidina Umar: "Wahai Muflih, pukullah lagi sebagai menunaikan hak Allah." Muflih pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.


"Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu," perintah Sayyidina Umar apabila melihat anaknya tidak bergerak lagi. Setelah itu Sayyidina Umar mengisytiharkan: "Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku Abu Syahamah telah pergi menemui Allah."


Mendengar pengumuman itu ramailah umat Islam datang ke masjid sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara mereka sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat peristiwa tersebut.


Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin al-Khattab al-Khalifatul Rasyid umumnya masyarakat berpendapat kematian Abu Syahamah adalah disebabkan oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina Umar Radhiallah 'Anhu.


Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada malamnya Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhuma bermimpi bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu 'Alaihi Wasallam yang wajah baginda seperti bulan purnama, berpakaian putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda dengan berpakaian hijau.


Setelah itu Rasululah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berkata: "Wahai anak bapa saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan beritahu kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah dan suatu kebahagiaan baginya sebab Allah telah menyediakan baginya beberapa mahligai dan beberapa bilik di dalam Jannatun Na'im. Bahawa sesungguhnya Abu Syahamah telah sampai pada tingkatan orang-orang yang benar di sisi Allah Yang Maha Kuasa.


Oleh yang demikian, marilah bersama-sama kita jaga nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kita. Moga terpelihara dari melakukan perkara kemaksiatan dan dosa yang boleh menyebabkan hati mati seterusnya jauh dari Allah s.w.t.


Thursday, May 14, 2009

Kuasai Diri !!!


"Andai kata kita punya sepasang sayap, akan ku bawa diri kita menyelusuri sorotan tarbiyah ini.. kerana harapan ISLAM ke atas kita. Andai kata kau gugur di atas jalan ini, maka janji-janji ALLAH SWT setia bersamamu. Ingatlah wahai saudaraku..landasan ke syurga penuh dengan ujian dan kepayahan dan landasan neraka itu pula penuh dengan nafsu dan syahwat. Maka tetaplah kamu atas landasan tarbiyah kerana itulah yang terbaik buat kita"


"Alangkah bahagianya hidup ini sentiasa bergantung belas dari YANG MAHA ESA. Kegelisahan & musibah yang datang tidak diduga itu sebagai cabaran & ujian dalam hidup ini. Moga kasih sayang ALLAH sentiasa mengelilingi kita.."


Binalah duniamu dan ketahuilah bahawa ia akan hancurBinalah akhiratmu dan ketahuilah bahawa ia kekal selama-lamanya.

Tuesday, May 12, 2009

Berpesan-pesan Sesama Mukmin



“Sesungguhnya tribulasi bukanlah tanda lemah atau matinya pendakwah Islam, bahkan ia merupakan bukti wujudnya kehidupan, pergerakan dan kekuatan. Orang yang mati terbujur tidak akan disebat dan tidak akan disakiti. Yang akan dipukul dan disakiti adalah orang yang hidup, bergerak dan menentang.”
DR. YUSSOF QARDAWI

Thursday, May 07, 2009

Ingin Cantik??Solatlah!!


Subhanallah, Maha Suci ALLAH yang mengetahui setiap suruhan dan laranganNya. Adakah anda sebagai seorang wanita pernah terfikir betapa banyak kelebihan-kelebihan yang terkandung dalam pergerakan solat yang dilakukan setiap hari? Percaya atau tidak setiap gerakan dalam solat telah mendahului kepercayaan orang tua-tua dalam memberi petua turun-temurun kepada generasi yang akan datang?


Mereka menemui bahawa gerakan yang dikenali sebagai senaman dapat mengekalkan kecantikan dalaman seorang wanita. Bahkan dari segi sains, solat dapat mengalirkan aliran darah dengan begitu sempurna. Di kesempatan ini, mari kita berkongsi persamaan antara pergerakan solat dan pergerakan senaman dari petua orang dahulu kala. Kebesaran dan kebijaksanaan ALLAH perlu dikaji oleh setiap insan kerana ada sebab dan musabab kenapa ALLAH menjadikan begini? kenapa tidak begitu? begitu mengapa tidak begini?


Ada sedikit ilmu yang ingin dikongsikan bersama setiap insan yang bergelar hawa yang bakal melahirkan pejuang-pejuang islam yang bakal menegakkan AGAMA ISLAM dimuka bumi.
SENAMAN-SENAMAN YANG MENYAMAI PERGERAKAN SOLAT.


1. Faedah Halus Pandangan: Menurut petua orang tua-tua Melayu, senaman mata ini mengelakkan diri anda dari mudah pusing mata dan dapat menajamkan fokus mata.


Gerakan: Apabila terjaga dari tidur, pejamkan kedua mata. Baring terlentang dalam keadaan santai tenang. Gerakkan bola mata seolah-olah anda memandang ke arah kepala anda, kaki, kiri dan kanan. Kemudian pusingkan bola mata itu mengikut arah jarum jam. Ulangi perkara yang sama tapi kali ini melawan arah jarum jam.


Perasan atau tidak kedudukan itu sama seperti kedudukan kita sewaktu berdiri tegak mengadap ALLAH. Cuma dalam senaman ini kita berada dalam keadaan berbaring. Manakala mata kita sama gerakan seperti memberi salam ke kanan dan kiri dalam solat.


2.Faedah Angin Tunggal: Gerakan ini membantu mengeluarkan angin dari dalam perut, mengurut dan menyengkak rahim serta menyempitkan anggota sulit wanita.


Gerakan: Baring terlentang, lunjurkan kedua-dua kaki. Tarik nafas. Kemudian angkat kaki kanan lurus ke udara. Bengkokkan lutut anda dan bawa ia ke arah dada sambil anda lepaskan nafas. Selepas itu, dalam keadaan nafas biasa, paut lutut yang dibengkokkan menggunakan kedua-dua tangan anda ke arah dada dan tahankan posisi ini selama 7 saat. Tukar kaki dan ulangi proses yang sama.


Keadaan ini sama seperti kedudukan sewaktu kita sujud mengadap ALLAH,ada sebab mengapa sujud yang panjang didalam solat itu lebih baik berbanding dari tergopoh gapah.


3. Faedah Angin Kembar: Membantu mengeluarkan angin serta mengurut pinggul serta merampingkan pinggang wanita.


Gerakan: Baring terlentang. Angkat kedua-dua kaki anda tegak ke udara. Tarik nafas. Kemudian bengkokkan kedua-dua lutut anda itu ke dada sambil lepaskan nafas. Dalam keadaan nafas biasa pula, pautlah kedua lutut itu ke arah dada dengan kedua-dua tangan anda. Tahankan posisi ini selama 7 saat.


Sewaktu mengangkat kedua-dua kaki ke atas keadaan ini pula hampir menyamai kedudukan sewaktu rukuk di dalam solat,kemudian apabila kaki dibengkokkan ke dada itu sama seperti kedudukan kita bangun daripada rukuk dan terus sujud.


Semoga apa yang dikongsikan ini sedikit sebanyak menyedarkan kita bahawa pemikiran manusia dan sains sebenarnya telah dikhabarkan oleh ALLAH TAALA dalam 'bahasa indahnya' kepada semua manusia. Terpulang kepada manusia samada akal yang ALLAH kurniakan ini digunakan ke arah kebaikan atau keburukan.


Wallahu' alam.


p/s : - Allah menerangkan di dalam al-quran bahawa manusia sentiasa dihinggapi rasa gelisah, bakhil dan sifat keji yang lain. Solat adalah satu cara untuk menghilangkan sifat-sifat keji ini.


Firman Allah SWT yang bermaksud ;


Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiatkan resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.


(al-Ma'arij 19-23)



cahayasyurga

Editor : arisHa27