Friday, December 24, 2010

Mahabbah

Assalamualaikum.

Rasanya masa berlalu begitu pantas. Semakin hari, usia bertambah. Begitu juga dengan anakanda tersayang, Aisyah Humaira telah mencecah usia 9 bulan. Masih menyusu badan, alhamdulillah. Syukur di atas kurnia yang diberikan oleh Yang Maha Esa. Semakin lincah dengan pelbagai ragam. Budak kecik nak membesar, banyak akalnya, kan.

Usia perkahwinanku juga sedang menghampiri angka 2 tahun tak lama lagi. Masih banyak yang perlu diperbaiki dari segala segi untuk meraih rumahtangga yang sentiasa di dalam mawaddah wa rahmah dari Ilahi. Kehadiran cahaya mata mengeratkan lagi kasih sayang di dalam ikatan perkahwinan selain hadirnya dengan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh teliti.

Semoga mahabbah di dalam rumahtangga kami akan sentiasa dirahmati Allah s.w.t, insyaAllah. Ameen.

*Sekadar peringatan buat diri yang sentiasa alpa.

RESEPI MENYUBURKAN KASIH SAYANG DALAM KELUARGA
- Mentradisikan pergaulan yang baik dalam keluarga
- Membantu keluarga dalam pekerjaan rumah
- Menghidupkan suasana belajar-mengajar dalam rumah
- Menghidupkan ibadah & syariat dalam keluarga
- Tidak menampakkan konflik di depan anak-anak

CARA MENGHINDARKAN DIRI & KELUARGA DARI TIPU DAYA SYAITAN:
x Berlindung kepada Allah SWT dari kejahatan syaitan
x Ikhlas hanya kepada Allah SWT
x Istiqamah dalam Islam
x Tawakkal kepada Allah SWT
x Menjadikan iblis & syaitan sebagai musuh abadi

Thursday, December 09, 2010

Tumbuh Gigi

Assalamualaikum.

Petang semalam ummi dan ayah ambil Aisyah di rumah pengasuh juga merangkap gelaran Opah Su dan Tok Su pada Aisyah. Bukan main suka dia bila nampak ummi dan ayah datang. Tersenyum lebar. Kalau tengah duduk, boleh merangkak meredah je apa yang ada kat depan dia. Kalau tengah didukung, dia akan meronta-ronta nak suruh ummi atau ayah ambil dia sambil tersenyum dan goyang-goyang kaki.

Masa ummi ambil, Aisyah tengah senyum, ummi nampak macam ada sesuatu warna putih di gusi dia. Wah, anak ummi dah tumbuh gigi ! Tumbuh kat bahagian atas sebelah kiri.

Nampaknya Aisyah mula tumbuh gigi masa umur 8 bulan 2 minggu. Memanjat kusyen di rumah dan apa-apa sahaja yang boleh dipegang untuk dia berdiri pun dah pandai.

Begitulah perkembangan anak ummi dan ayah setakat ni. Dinukilkan di dalam blog ummi untuk dijadikan kenangan bila Aisyah dah besar nanti. Ummi dan ayah mendoakan agar Aisyah membesar dengan sihat dan menjadi anak solehah yang diredhai Allah hendaknya, amin.

Tuesday, November 30, 2010

Alahai Aisyah Humaira

Assalamualaikum.

Bersua kembali setelah sekian lama menyepikan diri. Entri kali ni nak merakamkan perkembangan dan kemajuan yang sedang dialami oleh anakanda tersayang, Aisyah Humaira.

Aisyah mula jinak-jinak untuk merangkak dan duduk ketika usia mencecah 7 bulan. Akhirnya, pandai dan tegap untuk duduk serta merangkak ketika usia 7 1/2 bulan.

Usia anak Ummi dah 8 bulan. Semakin laju merangkak. Pantang nampak Ummi hilang, tak ada di depan mata, mula meraung macam kena pukul. Huhuhu.

Pagi tadi Ummi tinggalkan sekejap Aisyah main dengan ayahnya sementara Ummi nak buat kerja sikit di dapur. Bersiap-siap untuk pergi kerja. Tiba-tiba dengar Aisyah nangis. Rupanya dia merangkak sambil menangis, datang menuju ke dapur. Alahai, kesian Ummi tengok. Rupa-rupanya ayah dia tertidur. Hehehe...

Pandai cari Ummi (^_^). Semoga Aisyah membesar sebagai anak yang solehah, berjaya dunia hingga ke akhirat, amin.

Aksi terkejut :)

Wednesday, October 13, 2010

Aisyah Beraya @ Rumah Boss

Assalamualaikum...
Ni gambar sekitar Majlis Jamuan Aidilfitri 2010 Ummi di rumah boss Jabatan Penilaian. Ummi bawa Aisyah sekali. Majlis diadakan pada hari terakhir bulan Syawal 1431H. Hari Jumaat, 8hb. Oktober 2010.
Jom tengok aksi Aisyah (^_^).

 Bersama-sama kawan-kawan ofis Ummi;
Berdiri dari kiri: Syed, CC Roziyan, Ika, Kak Sarah, Kak Ros, Ila,Ummi & Aisyah, Pn. Foziah
Duduk dari kiri: Kak Lily & Kak Nor

 Aisyah tarik tudung Ummi...huhu

 Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB)

 Aisyah dan anak Kak Sarah

 Jabatan Penilaian & Unit COB

Aisyah with Auntie Imah

Lagi...

O.K, itu sahaja...InsyaAllah bertemu di lain entry :)

Tuesday, October 05, 2010

ExAm...PMR

Assalamualaikum

Hari ni bermula peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) di seluruh Malaysia. Adik tersayang, Awanis Bt. Mohamad Arbain dan adik ipar, Azimatun Najwa Bt. Husain akan bertarung habis-habisan berjuang setelah 3 tahun menuntut ilmu di peringkat menengah rendah. Sesiapa yang berusaha pasti akan mendapat hasilnya. Di pengakhiran, bertawakkal lah kepada Yang Maha Esa kerana hasil pencapaian adalah daripada usaha yang telah dilakukan.

Akak mendoakan kejayaan kalian. Akak sayang kalian. Buatlah yang terbaik untuk mak dan abah/ayah (panggilan bapa mertua) yang amat menyayangi kalian. Doa mereka juga mengiringi kalian.

Semoga tenang, dipermudahkan dan lancar dalam menjawab soalan. Selamat maju jaya, adik-adikku !

Doa memohon kejayaan cemerlang -
dibaca sebelum tidur setiap hari sehinggalah keputusan peperiksaan diumumkan.

(Allahumma inni as-alukal fauza 'indal qadha
wa manaazilasy syuhada wa 'ai syas su 'a da'
wan nasra alaal a'daa')

Maksudnya: Ya Allah Kami memohon kejayaan dalam setiap ketentuan,  tempat para syuhada'
dan kehidupan orang-orang bahagia serta kemenangan mengatasi musuh

Friday, October 01, 2010

Semakin Jauh Di Jalan Ini...

Alhamdulillah diri ini telah menginjak satu tangga lagi di dalam kehidupan… Menjadi seorang ibu. Pastinya bukan amanah yang calang-calang, kerana bayi comel ini insyaALLAH bakal membesar menjadi penolong agama ALLAH seterusnya.


Jika ingin anak ini merintis jalan dakwah yang memimpin ke taman syurga, diri ini terlebih dahulu harus memasakkan syaksiah muslimah wa daieyah. Harus BERSUNGGUH menjadikan syurga destinasi yang ingin dituju. Menjadi anak, isteri, ibu dan hambaNya yang beriman dan beramal soleh.

Di lembaran kali ini, dikongsikan petikan ayat-ayat yang mentazkirah diri ini untuk menjadi lebih kuat dan sabar. Untuk istiqamah dan bersedia berkorban.

* * *

Semakin jauh kita berada di jalan dakwah dan pentarbiyyahan, semakin menuntut kualiti ruhiyyah yang tinggi kepada ALLAH. Kerana ujian dan kesulitannya semakin hebat, medannya sangat mencabar keikhlasan, jalannya sangat panjang, berliku dan melelahkan..

Kita memegang amanah yang besar, iaitu untuk membentuk kesolehan peribadi sendiri dan orang lain. Dituntut pengorbanan mengurangi waktu tidur untuk menghidupkan hati dengan tilawah dan tadabbur, mengurangkan waktu istirehat untuk menambah khazanah keilmuan, mengurangkan perbelanjaan keperluan peribadi untuk keperluan dakwah..

Berusaha meluangkan waktu untuk sama-sama berjuang menapaki pentarbiyyahan dengan segala kemampuan yang kita miliki. InsyaALLAH pengorbanan penuh keikhlasan dan perancangan akan menyebarkan keberkahan dakwah pada ummah yang dicintai, insyaALLAH.

Selamat memperbaharui komitmen di jalan dakwah dan tarbiyyah...

Petikan daripada http://sisi-kehidupan.blogspot.com/

Tuesday, September 28, 2010

Puteriku Sayang

Assalamualaikum buat pengunjung blog nurwidad. Inilah dia wajah anak kesayangan ummi dan ayah. Aisyah Humaira Bt. Awis Kharni. Sekarang ni dah berusia 6 bulan. Dah pandai meniarap. Gambar ni masa pergi beraya di rumah kawan ummi kat Venice, acik Ila. Ummi dah start bagi makan bubur nasi campur ikan bilis yang ditumbuk dan lobak merah. Aisyah pandai makan. Ummi suka tengok aisyah makan bubur yang ummi masak.

Namun, sebagai wanita, isteri, dan ibu yang bekerja, hati ummi cepat tersentuh bila teringatkan Aisyah yang ditinggalkan bersama pengasuh. Masa anak ummi dengan pengasuh lebih lama berbanding dengan masanya bersama ummi dan ayah, terutamanya pada hari-hari bekerja. Sedihkan? Mula hantar kat pengasuh jam 7.30 pagi dan kebiasaannya ummi/ayah ambil semula jam 6.00-6.30 petang. Ermmmm......

Ummi dan ayah mendoakan kesejahteraan hidup Aisyah dunia hingga ke akhirat. Moga jadi anak solehah, taat dengan perintah Allah dan Rasul serta berpegang teguh dengan ajaran ISLAM. Ameen.

Wednesday, August 11, 2010

.:: Keluarga Impian : Kenyataan Sering Menguji Impian ::.


Assalammua’alaikum wa rahmatullah

Moga kalian para tetamu rumah maya ini, jua anakku yang bakal menjengah dunia berada dalam rahmat dan kasih sayang ALLAH yang tidak putus-putus. Lama juga tidak mengisi blog ini dengan sesuatu, benar sekali, jika iman di sukma ini tidak seberapa, hati dan jari jemari terasa kesat untuk berkongsi untaian kata yang bermakna.
Kali ini ingin ku kongsikan sedikit pandangan tentang keluarga impian, berdasarkan hidup berkeluarga yang telah dilalui sejak 26 tahun yang lalu. Dahulunya, erti bekeluarga dikelilingi ayahbonda tercinta dan adik beradik, tika ini ALLAH izin diriku membina keluarga seterusnya bersama suami dan anak tercinta insyaALLAH. Mohon doa dan bimbingan semua.


Penulisan ini sebenarnya adalah tugasan dari halaqahku, sementelahan diri ini telah berumahtangga, diminta untuk menulis tentang keluarga impian. Alhamdulillah tugasan yang membawa diri ini memuhasabah diri, keluarga bagaimanakah yang ingin ku bentuk di dunia yang sementara ini... Arah mana dan jalan apakah yang ingin ditempuh menuju Ilahi..? Perkongsian ini hanya dari ilmu jua pengalaman diriku yang dangkal, moga ada sedikit manfaaat pada mereka yang sentiasa ingin menggapai redha dan syurga tuhan.

* * * *

Setiap insan pastinya menginginkan kebahagiaan dan kejayaan melingkari kehidupan bekeluarga yang dibina. Tafsiran keluarga bahagia itu pula berbeza-beza bagi setiap orang, namun insyaALLAH jiwa-jiwa yang mendamba keredhaan tuhan menilai erti keluarga bahagia berpandukan wahyu ALLAH dan petunjuk Rasul SAW.

Keluarga impian adalah keluarga bahagia yang menjalani kehidupan dunia dengan keimanan dan amal soleh. Keluarga impian adalah keluarga yang menjalani kehidupan penuh kasih sayang dalam redha ALLAH. Mereka sangat mengimpikan untuk menjadi keluarga bukan sahaja di dunia yang sementara ini, namun ingin berkumpul bersama seluruh ahli keluarga di syurga yang kekal abadi.

Di dunia, ahli keluarga merasa tenang tenteram bernaung di bawah keluarga yang berusaha melaksanakan ajaran Al Quran dan As Sunnah. Mereka adalah keluarga yang membudayakan ilmu, dan dengan ilmu yang dimiliki, mereka berusaha menerapkan akhlak dan sistem islami dalam segenap ruang kehidupan. Bukan sekadar ahli keluarga, masyarakat yang diluar juga akan memperoleh manfaat dari keluarga cemerlang seperti ini yang menjadi contoh teladan dalam beramal. Unit-unit keluarga yang cemerlang akhirnya akan membina masyarakat dan peradaban ummah yang kehadapan dalam banyak aspek.

Namun, untuk meraih keluarga bahagia yang diimpikan seperti itu adalah satu perjalanan panjang yang sukar. Bertahun-tahun sebelum mendirikan rumahtangga, seseorang individu harus mempersiapkan diri dengan ilmu, akhlak dan kematangan untuk dirinya melangkah ke alam yang lebih mencabar bernama pernikahan. Jika dirinya ingin membina rumahtangga yang penuh keberkatan dan rahmat ALLAH, dia harus bermula dengan diri sendiri menjadi hamba yang benar-benar faham akan erti pengabdian yang tulus kepada ALLAH. Dia harus memahami tujuan dan hakikat kehidupan di bumi ini.

Keluarga impian bermula dari peribadi seorang muslim dan muslimah yang berusaha menjadi lebih baik di sisi ALLAH. Dia menyedari terpikul ke atasnya tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah. Dia telah berazam untuk istiqamah sebagai daie dan murobbi. Dia kemudiannya akan memilih pasangan hidup yang juga mempunyai peribadi mulia dan fikrah islam yang luas, yang akan bergandingan bahu untuk terus istiqamah di jalan dakwah dan tarbiyyah. Penyatuan dua jiwa yang mempunyai penghayatan agama yang baik inilah asas kepada keluarga impian yang bermanfaat pada masyarakat dan ummah.

Dengan ilmu dan kesedaran, ikatan pernikahan yang dibina menjadi titik tolak untuk pasangan suami dan isteri menyusun dan membina rumahtangga yang menyumbang pada perjalanan dakwah dan tarbiyyah. Misi dan visi keluarga disusun seiring dengan misi dan visi dakwah. Program-program keluarga juga diatur agar selari dengan program-program dakwah.

Sebelum bernikah, individu muslim dan muslimah berusaha membina karakter seorang daie dan saudara mukmin yang mengaurakan kekuatan pada perjuangan menyebarkan risalah. Setelah bernikah, mereka berusaha pula untuk membentuk karakter suami isteri yang menyalurkan kekuatan diri dan ketenteraman jiwa pada pasangan. Mereka terus mencari ilmu dan bersungguh untuk menjadi suami isteri yang dikasihi pasangan jua dicintai ALLAH.

Setiap yang mendirikan pernikahan amat mengimpikan mendapat hak dan layanan yang terbaik dari pasangan. Namun seringkali pengharapan dan impian tidak berjalan seperti yang diinginkan. Tika inilah amat penting untuk suami dan isteri memfokus bukan pada menukar pasangannya menjadi soleh solehah, namun diri sendiri yang harus bermuhasabah dan bersungguh menjadi yang lebih baik di sisi pasangan, kerana ALLAH. Suami atau isteri yang bahagia akan memfokus kepada bagaimana dirinya boleh memberi yang terbaik pada pasangan dan membina kebahagiaan dalam rumahtangga, bukan sekadar berharap menerima dan meraih kebahagiaan dari pasangan.

Sesungguhnya niat, perancangan dan usaha yang bersungguh dalam membina keluarga impian akan menghadapi banyak rintangan dan ujian di dalam menghadapi realiti kehidupan. Dalam semangat dan keikhlasan untuk menyeru manusia ke jalan dakwah, konflik dan ujian adalah pasti mendatangi setiap rumahtangga yang dibina. Seandainya ujian dan dugaan itu tidak diurus dan diluruskan dengan baik, rumahtangga yang dibina kerana dakwah boleh bertukar menjadi fitnah kepada dakwah.

Situasi kehadiran anak-anak menambah lagi amanah sedia ada yang perlu dilunaskan. Pasangan bergelar suami atau isteri yang dulunya satu fikrah dan satu perjuangan mungkin teruji lalu berubah tingkah dan arah yang meresahkan jiwa pasangan yang ingin terus meraih keluarga impian. Seterusnya apabila keluarga semakin membesar, tuntutan mencari rezeki juga perlahan-lahan memberi tekanan pada ibu ayah untuk membahagi-bahagikan masa antara keluarga dan keluar menyumbang kepada tuntutan dakwah. Kerjaya dan kemewahan dunia juga tidak sedikit melalaikan manusia hingga keluarga yang dahulunya mendahulukan Al Quran dan As Sunnah kini mengutamakan kedudukan, pangkat dan harta bertimbun yang dikejar manusia kebanyakan.

Ketika ujian dan kesulitan tidak putus mendatangi, keimanan dan ketaqwaan adalah bekal yang terbaik. Seluruh ahli keluarga tidak boleh tidak, harus kembali kepada ALLAH dalam apa jua keadaan, susah dan senang. Segala kemudahan dan kebaikan dari ALLAH disyukuri, segala kesusahan dan kesempitan ditempuhi dengan kesabaran yang baik.

Kasih sayang dan kesatuan dalam keluarga akan hadir berpanjangan bagi hati-hati yang basah dengan keimanan, seperti yang ALLAH nyatakan di dalam surah Al-Anfal dan Surah Maryam. ALLAH juga berjanji, sesulit manapun cubaan yang menimpa, pasti ada jalan keluar bagi hamba-hambaNya yang bertaubat dan bertaqwa. Jalan keluar ini boleh datang dalam pelbagai bentuk, seperti rezeki kewangan dari arah yang tidak disangka-sangka, malah kekuatan dan kesihatan fizikal juga adalah nikmat yang besar dari ALLAH hingga urusan orang mukmin menjadi lancar dengan nikmat ALLAH ini.

Arus zaman yang bergerak pantas menjadikan masa semakin sempit sedangkan tanggungjawab semakin meluas. Adalah sukar untuk menyeimbangkan tuntutan dakwah, kerjaya, keluarga dan menuntut ilmu, namun bagi keluarga yang berjaya, kekurangan itu berusaha diperbaiki dari semasa ke semasa. Justeru, kebajikan keluarga perlu disusun bukan dengan kuantiti masa, namun dengan kualiti masa. Keluarga yang bahagia dan berjaya sentiasa merancang aktiviti secara harian, mingguan, bulanan dan tahunan. Mereka kemudian berusaha melaksanakan perancangan agar setiap ahli keluarga mendapat hak terbaik mengikut kemampuan masing-masing.

Rutin kerja dan tuntutan program dakwah dan tarbiyyah bukan bermaksud keperluan dan hak keluarga dipinggirkan. Suami dan isteri menyediakan masa untuk aktiviti yang memperbaharui cinta dan meluruskan komunikasi tentang banyak perkara. Masa juga disediakan untuk ibu bapa dan anak-anak memperbaharui semangat dan kasih sayang mencari kehidupan yang bermakna.

Melalui kehidupan bekeluarga, adalah penting suami dan isteri jua menyediakan ruang untuk saling menegur dan menasihati sesama pasangan, malah anak-anak juga diberi ruang untuk meluahkan rasa tentang layanan dan kepimpinan ibu bapa. Komunikasi yang telus lagi berhikmah sesama pasangan dan anak-anak akan banyak menyumbang pada keluarga harmoni yang dinamis, mampu merasa sakinah dan rahmah.

Sesungguhnya keluarga impian amat sukar untuk diwujudkan namun ia tidak mustahil dengan berpegang teguh pada syariat yang dipimpin ALLAH dan Rasul. Sebagai pengakhiran, keluarga impian bukanlah keluarga yang sempurna namun keluarga yang tidak putus-putus melakukan perbaikan dalam mencari keredhaan tuhan. Apa yang lebih penting, keluarga impian tidak akan terhasil dari angan dan usaha sehari semalam, tapi terbina dari usaha positif yang bertahun berterusan.

Sumber: http://sisi-kehidupan.blogspot.com/

Tuesday, August 10, 2010

Ahlan Ya Ramadhan 1431H


"Ramadhan has arrived to you, a month of barakah (blessings), Allah envelops you (with His mercy & blessings), so He descends His mercy, erases the sins, answers your du’as, and He watches your competition in virtuous deeds and He boasts in front of the angels about you. So let Allah see the best from you, for truly, the miserable one is he who is deprived from the mercy of Allah (in this month)."


[Tabaranee, Saheeh]

TIME MANAGEMENT TIPS FOR RAMADHAN

Some practical tips to maximize the time during Ramadhan & to prepare ourselves for Ibadah & worship during this blessed month of Ramadhan.

TIPS:

Clean up the time:

a) Telephone:

Minimize your chat on the telephone. If you are used to chat with your friends on a regular basis, try to make it short. Share with her the importance of this month & tell her that you want to devote yourself for Ibadah in order to get the maximum reward in this month.

Share with her these tips.

b) Cooking:

Try to cook something simple during Ramadhn as this is a month of Ibadah & Qur'an, not the month of food. There are some husbands who push their wives to cook different varieties of food & sisters have to spend their time in the kitchen. If it's very necessary, keep a tape of Qur'an in the kitchen & listen to it while you are busy in kitchen, or keep your tongue moist with the Zikr. [find out some short cut & tips to prepare the food quickly]

C) Shopping:

Get all your shopping done before Ramadhan. Make a list of the things/grocery/ items, that is enough for one month & buy it all together.

Important: Try to do the Eid shopping NOW. The last ten days of Ramadhan when we have to be doing more Ibadah & spend our time in doing good deeds, most of the muslims are busy in doing shopping for Eid & their kids.

Sisters! These ten days, we have to exaggerate ourselves in doing more Ibadah & to catch Laylat-ul-Qadr.
Make this Ramadhan a very different from all the previous Ramadhans.

D) Dinner Parties/Iftaar:

Iftaar parties during ramadhan are getting very common now. This is the Month for you sisters!! We have the rest of the full year to do parties & to socialize. Indeed it's a great reward to break someone's fast but give food to people who are needy & poor.

The prophet Sallalahu ‘Alayhi wa sallam said: "Whoever gives food to a fasting person with which to break his fast, will have a reward equal to his, without it detracting in the slightest from the reward of the fasting person." (Reported by al-Tirmidhi Saheeh al-Targheeb) .

E) Sleeping:

Cut less the time of sleep during this month. It's a month of Ibadah, doing good deeds. Who knows this could be our last Ramadhan. Reduce your sleeping hours. Its only one month & then you can get back to your normal routine.

(*) Computer & Internet: (1)

This is a personnel experience & request. Spending a lot of time on the internet, even if visiting Islamic sites really takes hours without notice. Try to minimize your internet timings by just checking emails/stuff once a week.

Thursday, July 29, 2010

Menyusukan Anak Adalah Rezeki

Menyusukan anak bergantung kepada rezeki? Betulkah? Benarkah ibu yang tak mampu menyusu badan itu sebab tak ada rezeki dia dan anak?
Rezeki maksudnya pemberian. Ya, menyusukan anak adalah pemberian dari Tuhan. Bukan itu sahaja malah tergeraknya hati untuk mencari ilmu penyusuan adalah hidayah pemberian-Nya juga. Sebab tu kita kadang2 pelik kenapa orang2 tertentu boleh mempunyai pemikiran yang begini-begini, kerana itulah pemberian atau rezeki yang diberi oleh Tuhan terhadap mindanya.

Saya percaya akan rezeki ini. Kerana saya ialah orang yang sama, semasa mula menyusukan Hafiy hampir 3 tahun lepas. Semasa dalam pantang, susu badan melimpah ruah, hingga saya jadikan siraman pada pokok2 bunga mak saya. Hafiy pun badannya macam dipam-pam. Stok beku penuh satu peti ais, sampai terpaksa dibuang sebab expired. Masa bekerja kena pakai breastpad, kalau tak boleh basah baju. Ejection reflex berlaku setiap masa. Semasa menyusukan Hafiy kena ada satu kain lapik sebelah sebab meleleh2 sama.

Itu masa Hafiy. Masa Fahry, semua tu tak ada. Tak pernah merasai engorgement sejak dia lahir hingga sekarang. Ejection relfex tak pernah rasa. Even semasa Fahry baru lahir, susu yang dapat saya pam hanya cukup2 untuk keperluan dia pada hari tu, even if saya pam 3 jam sekali. Hasilnya cuma 10ml… bayangkan je lah banyak mana tu. Lepas tu pulak bila Fahry membesar ni macam2 benda terjadi kepada stok yang memang dah ada seciput tu. Balik2 dari London, tengok2 rumah blackout. Habis semua stok susu. Kumpuuulll balik. Lepas tu selang 2-3 minggu, balik2 kerja tengok pintu peti tak tutup rapat, beberapa kali terjadi.

Itulah dia situasi berbeza. Mungkin masa Hafiy dulu kurang bersyukur dengan nikmat susu yang banyak, bila time Fahry, diberi benda yang susah, payah. Sampai hari ni tak pernah rasa pengalaman masa Hafiy dulu. Tapi tu semua bukan alasan.

Haruslah semua itu disyukuri kan. Tapi bukan semata2 rezeki disalahkan bila kita tak boleh nak buat sesuatu. Punca usaha ialah dari kita sendiri juga. Allah takkan mengubah nasib kita kalau bukan kita snediri yang mengubahnya. Tawakal itu selepas usaha, bukan dengan takde apa2 usaha, tiba2 nak tawakal. Itu tukul namanya. Sebelum tawakal tinggalkan unta, tambat dulu untanya. Sebelum tawakal atas nasib, usahakan dulu sebaik mungkin.

Kerana rezeki tu bukan saja pada hasilnya, kemampuan nak berusaha itu adalah rezeki. Menolak untuk berusaha tu namanya menolak rezeki. Dan takdir kita ni untuk dapat sesuatu kena dengan usaha.

http://mysuperkids.net/menyusukan-anak-adalah-rezeki/
 

Friday, July 16, 2010

BUAH HATI KAMI

Wajah anak yang baru lahir...gambar ni ketika kami masih di hospital (^_^)
23 Mac 2010, 7 RabiulAkhir 1431@ Hospital Seri Manjung

Friday, July 09, 2010

KUATKAN HATIMU WAHAI ISTERI !

MENGABAIKAN SUNTIKAN SEMANGAT DARI ALLAH S.W.T

Dialah yang berkuasa melapangkan hati anda, meringankan beban anada, menunjuki jalan keluar dari setiap kesempitan hidup dan mencerahkan hati yang diganggu ujian. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “(iaitu) Orang-orang yang beriman dan hati menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.” (Surah Al-Ra’d ayat: 28)

ZIKRULLAH

Jika anda marah, letih, putus asa, menangislah kerana Allah, sebut nama-Nya, mengadulah dengan suara yang sayu, getarkanlah hatimu demi memohon pertolongan-Nya. Zikrullah adalah kekuatan anda, suntikan yang paling ampuh untuk mengubat hati yang luka, letih dan gelisah. Zikrullah amalan yang paling mudah dan murah, tidak perlukan masa tertentu, tempat dan waktu yang membebankan. Amalan yang hanya menggunakan lidah dan perasaan. Tidak sedikitpun mengganggu wang ringgit anda.

Dalam sebuah athar diriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman pernahberkata: ”Wahai manusia demi Allah, sesungguhnya satu ucapan tasbih adalah lebih baik daripada apa yang dimiliki Sulaiman dan keluarganya. Kerana apa yang dimiliki Sulaiman akan lenyap sementara tasbih akan tetap kekal.”

MERINDUKAN MALAM

Pada saat manusia melelapkan mata, hanya anda yang masih menunggu saat berjumpa Allah. Saat-saat yang paling indah untuk mengetuk pintu rahmatNya, untuk mengakui betapa letihnya anda kerana dunia, anak-anak, suami, kerjaya dan amanah keluarga.

Antara amalan orang-orang soleh yang memiliki kecekalan hati, kekuatan iman dan kemenangan menaklukkan dunia ialah memanjangkan doa-doa pada sepertiga malam. Perhatikanlah doa seorang hamba Allah, Malik Bin Dinar: ”Pada malam ini, Rabbku, Engkaulah satu-satunya Yang Mengetahui siapakah penghuni syurga dan siapakah penghuni neraka. Ya Rabbi, aku tidak tahu di manakah aku, apatah di syurga atau di neraka.”

Sulaiman Al-Darani pernah mengamalkan doanya: Rabbi jika pada hari kiamat nanti Engkau bertanya tentang dosa-dosaku aku akan bertanya akan rahmat-Mu. Kalaulah Engkau bertanya tentang aibku, aku akan bertanya tentang ampunan-Mu, kalaulah Engkau bertanya tentang kelalaianku, aku akan bertanya pintu maaf-Mu. Dan jika Engkau melemparkan aku ke dalam api neraka sekalipun aku akan memberitahu penghuni-penghuninya bahawa aku mencintaiMu Ya Allah.”

(Petikan Majalah Wanita keluaran April 2010)