Friday, July 09, 2010

KUATKAN HATIMU WAHAI ISTERI !

MENGABAIKAN SUNTIKAN SEMANGAT DARI ALLAH S.W.T

Dialah yang berkuasa melapangkan hati anda, meringankan beban anada, menunjuki jalan keluar dari setiap kesempitan hidup dan mencerahkan hati yang diganggu ujian. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: “(iaitu) Orang-orang yang beriman dan hati menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.” (Surah Al-Ra’d ayat: 28)

ZIKRULLAH

Jika anda marah, letih, putus asa, menangislah kerana Allah, sebut nama-Nya, mengadulah dengan suara yang sayu, getarkanlah hatimu demi memohon pertolongan-Nya. Zikrullah adalah kekuatan anda, suntikan yang paling ampuh untuk mengubat hati yang luka, letih dan gelisah. Zikrullah amalan yang paling mudah dan murah, tidak perlukan masa tertentu, tempat dan waktu yang membebankan. Amalan yang hanya menggunakan lidah dan perasaan. Tidak sedikitpun mengganggu wang ringgit anda.

Dalam sebuah athar diriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman pernahberkata: ”Wahai manusia demi Allah, sesungguhnya satu ucapan tasbih adalah lebih baik daripada apa yang dimiliki Sulaiman dan keluarganya. Kerana apa yang dimiliki Sulaiman akan lenyap sementara tasbih akan tetap kekal.”

MERINDUKAN MALAM

Pada saat manusia melelapkan mata, hanya anda yang masih menunggu saat berjumpa Allah. Saat-saat yang paling indah untuk mengetuk pintu rahmatNya, untuk mengakui betapa letihnya anda kerana dunia, anak-anak, suami, kerjaya dan amanah keluarga.

Antara amalan orang-orang soleh yang memiliki kecekalan hati, kekuatan iman dan kemenangan menaklukkan dunia ialah memanjangkan doa-doa pada sepertiga malam. Perhatikanlah doa seorang hamba Allah, Malik Bin Dinar: ”Pada malam ini, Rabbku, Engkaulah satu-satunya Yang Mengetahui siapakah penghuni syurga dan siapakah penghuni neraka. Ya Rabbi, aku tidak tahu di manakah aku, apatah di syurga atau di neraka.”

Sulaiman Al-Darani pernah mengamalkan doanya: Rabbi jika pada hari kiamat nanti Engkau bertanya tentang dosa-dosaku aku akan bertanya akan rahmat-Mu. Kalaulah Engkau bertanya tentang aibku, aku akan bertanya tentang ampunan-Mu, kalaulah Engkau bertanya tentang kelalaianku, aku akan bertanya pintu maaf-Mu. Dan jika Engkau melemparkan aku ke dalam api neraka sekalipun aku akan memberitahu penghuni-penghuninya bahawa aku mencintaiMu Ya Allah.”

(Petikan Majalah Wanita keluaran April 2010)

No comments:

Post a Comment