Friday, May 29, 2009

Blog Isteri & Suatu Peringatan Buat Pemilik Blog dan Forum Maya

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Semenjak saya membuat keputusan agar isteri berhenti kerja pada tahun 2006, seribu satu macam perancangan saya fikirkan untuk beliau. Ada yang sudah tercapai dan ada yang masih dalam perjalanan. Manakala sebahagian lagi masih di dalam perancangan di minda saya. Menunggu pulang ke tanahair dan perlu melihat situasi semasa di ketika itu.

Antara perancangan yang dilihat mampu dibuat dalam kadar segera adalah menajamkan kemahiran penyampaian ilmunya melalui tulisan. Ia amat baik kerana setiap entry yang ingin dimasukkan, si penulis biasanya akan teruji untuk mengemaskinikan peta kandungan yang ingin disampaikan. Namun ia bergantung juga kepada jenis kandungan yang ingin dikongsikan. Ada banyak juga blog yang berkongsi ‘entah apa-apa' yang tidak perlukan perancangan peta kandungan di minda semasa menulis. "Bak kata seorang rakan saya :
"Main lanyak aja"


BLOG ISTERI
Tahniah dan segala puji ke hadrat Allah swt, hasrat saya untuk mengajak isteri tercinta terlibat dalam aktviti dakwah fardiah melalui blog tercapai jua. Semoga kami diberi kekuatan untuk terus menyumbang sesuatu yang bermanfaat buat ummah. Khususnya buat para muslimah, yang masih bujang atau sudah berumah tangga.


Blog isteri saya, inshaAllah akan berkongsi pengalaman hidup dan pengajaran. Kami akan cuba pastikan setiap entry punyai pengajaran, bukan bertujuan membazirkan waktu kosong dengan kisah-kisah diri ke sana dan kemari, ke situ dan ke sini, tanpa mesej pengajaran yang jelas.
Kami berdoa, agar ruang yang wujud ini akan menjadi penambah peluang untuk meraih rahmat Allah SWT dan tidak menjadi beban buat kami kelak di akhirat.
Sila klik untuk membuka BLOG ISTERI SAYA

Setiap pemilik blog sememangnya bebas untuk memuatkan apa jua coretan dan gambar yang mereka sukai, namun mereka juga WAJIB bertanggungjawab untuk memastikan entrynya tidak menggalakan pembaziran waktu dan masa diri sendiri dan pembaca tanpa mesej jelas. Selain itu, WAJIB pula dijaga dari sebarang komen buruk dan negatif terhadap Islam.

JAGA-JAGALAH PEMILIK FORUM
Sama seperti forum-forum yang begitu pelbagai di internet hari ini. Terdapat forum politik, forum perbincangan agama, forum remaja, forum pelbagai dan lain-lain.

Namun agak malang juga apabila melihat sebahagian forum TIDAK TERKAWAL kandungannya. Benarlah, ia memberikan sebahagian manfaat tetapi ia turut membarahkan masalah sosial, akhlak dan agama apabila melepas bebaskan pemberi komen, penghantar artikel untuk menulis apa sahaja.

Pemberi komen di forum dan blog hari ini ada yang bertukar watak syaitan ketika memberi komen, berselidung di sebalik nama palsu dan umum. Sama seperti manusia di jalan raya di Malaysia (bukan di UK), watak sebenar seseorang individu kerap terzahir ketika memandu, ramai tidak disangka ia seganas itu, tetapi itulah dia.

Jika masih ingin memberikan kebebasan umum kepada pelawat, pemilik blog atau forum MESTI mempunyai tenaga pakar yang memantau dan menjawab dengan cepat serta pantas agar setiap idea yang ditulis oleh pelawat yang rencam latarbelakangnya ini dapat ditapis dan dijaga.

"Jika tidak dijaga, adakah pemilik forum berdosa ya ustaz?" itu pertanyaan seorang pelajar kepda saya semasa mengadakan satu kuliah Mawlidur Rasul di UK.

"Sudah tentu!.. biasanya forum bertema politik adalah yang paling meriah dengan dosa fitnah, mengumpat dan lainnya, forum lain juga banyak tapi saya tidak tahu sama ada ia wujud atau tidak "

Ingatlah, bukankah Nabi s.a.w menyebut di dalam hadis sohih Al-Bukhair dan Muslim :

كلكم راع وكلكم مسئول عن رعيته
"Setiap kamu adalah penjaga dan bertanggungjawab ke atas apa yang dijaganya.." jawab saya ringkas.

"Bagaimana adakalanya terdapat beberapa orang yang bukan khusus dalam bidang agama, tetapi mengulas pendapatnya, sedangkan pendapat itu mungkin bertentangan dengan Islam" Dia bertanya lagi.

Tidak salah seseorang mengutarakan pendapat, cuma bimbangnya agak semakin meluas hari ini terlalu ramai merasakan pendapatnya adalah paling tepat tanpa menghiraukan pandangan ulama Islam berasaskan al-Quran dan As-Sunnah. Semakin ramai juga tidak mengetahui kejahilan diri, tidak menyedari sempadan ilmu yang dimiliki. Ia tanda dunia semakin mengelirukan, kebenaran semakin berkabus, sukar dituju dan dilihat.

Memang benar, manusia yang paling sesat adalah manusia yang jahil dan tidak mengetahui berkenaan kejahilannya.

Malangnya, kumpulan ini semakin bertambah jumlahnya dan kalau dulu, tiada ramai terkena mudarat dari mereka, tidak ramai pula kenalan mereka. Namun hari ini di waktu kemunculan blog percuma, forum dan media internet, idea kejahilan pembawa racun mereka tersebar meluas, pantas beredar di dalam minda ramai yang juga jahil. Maka lahirlah kumpulan yang jahil lagi menyesatkan dan terus berkembang.

Ibn Umar berkata :

العلم ثلاثة، كتاب ناطق، وسُنّة قائمة، ولا أدري

Ertinya : "Ilmu itu punyai tiga cabang, al-kitab yang bertkata ( nas alquran), sunnah baginda nabi yang lalu, dan kata-kata "aku tida tahu" ( Uyun al-Akhbar, 5/130 ; Riwayat Al-Khatib secara Mawquf )

Jika keadaan itu berlaku di dalam sesuatu forum, pemilik forum perlu menentukan sikap dan kaedah pengendalian forumnya, sama ada untuk terus memadam atau meluluskan dengan jawapan dari panel mereka yang faham bab agama.

Nasihat saya buat pemilik forum, bertaqwalah kepada Allah. Jangan sampai forum yang dimiliki menjadi asbab ke neraka, jadikan ia kunci kepada rahmat ilahi untuk ke Syurga. Namun, jalan ke syurga adalah dengan duri dan payah, jalan ke neraka dengan syahwat dan seronok, demikian tegas baginda Nabi s.a.w.

Sahabat Nabi bernama Abdullah Ibn Mas'ud r.a berkata :-

لايزال الناس بخير ما أخذوا العلم عن أكابرهم، وعن أمنائهم وعلمائهم، فإذا أخذوه عن صغارهم وشرارهم هلكوا

Ertinya : Sentiasalah manusia berada dalam keadaan baik selagimana mereka mengambil ilmu dari orang berpengalaman (berusia), mereka yang amanah dan para ulama mereka, dan atatakala mereka mengambil ilmu dari mereka yang kurang pengalaman (muda remaja) dan yang jahat, nescaya mereka akan mula hancur" ( Jami' Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih ; 1/616 )

Ulama berbeza pendapat mentafsir perkataan "as-Sighar atau muda dalam athar di atas.

Ibn Qutaibah : ertinya individu usia muda tandanya umurnya masih kecil dan giginya masih kecil.

Umar Al-Khattab berkata :

قد علمت متى صلاح الناس ، ومنى فسادهم : إذا جاء الفقه من قبل الصغير ، استعصى عليه الكبير ، وإذا جاء الفقه من الكبير تابعه الصغير فاهتديا

Ertinya : "Telah aku tahu bilakah manusia menjadi baik dan menjadi buruk. Apabila datang kefahaman hukum Fiqh dari orang muda, nescaya mereka akan sentiasa bercanggah dengan orang tua, namun apabila kebijaksanaan fiqh itu datang dari orang tua, yang muda akan mengikutinya dan sama-sama mendapat hidayah." (Jami' Bayan al-‘Ilm wa Fadhlih ; Ibn Abi Al-Barr)

Terdapat juga ulama yang membawakan tafsiran muda boleh membawa erti fizikal umur dan juga secara maknawi iaitu umur tua tetapi ilmunya masih muda dan seperti kanak-kanak.

Kesimpulan dalam bab ini, ambillah ilmu dari mereka yang berpengalaman, sebaiknya yang berusia lagi alim. Namun sekiranya yang berusia sudah pupus yang alim dan tinggi ilmunya, sehingga ramai mula mengambil ilmu dari ilmuan muda. Itu antara tanda akhir zaman .

Nabi bersabda :

إن من أشراط الساعة أن يلتمس العلم عند الأصاغر

Ertinya: Sesungguhnya salah satu dari tanda hampirnya kiamat adalah orang menuntut ilmu dari mereka yang muda (fizikal dan umur, atau boleh juga membawa maksud orang kurang ilmu dan pengalaman)" ( Riwayat al-Lalakie; hadis sohih, 1/102)

GAMBAR, BLOG DAN FRIENDSTER
"ana rasa anta patut tulis satu artikel berkenaan etika berblog, khususnya blogger wanita muslimah" kata seorang ustaz popular kepada saya semasa menziarahi rumahnya.

Elok juga sebenarnya jika beliau sendiri yang menulis topik itu berbanding meminta saya untuk menulisnya.

Namun memang benar, ada diantara pemilik blog yang tiada menjaga auratnya, dipaparkan gambarnya di rumah yang adakalanya tidak sempurna tutupan auratnya, jika sempurna pun terlalu banyak gambar dirinya sehingga boleh membuat pembaca yang kurang beriman ditarik
Syaitan untuk melihat dengan ‘pandangan tembus baju' di setiap gambar-gambarnya di blog, selain itu, banyak juga gambarnya yang sedang duduk dengan pelbagai gaya, malah berbaring.

Selain blog, ruangan facebook dan friendster juga menjadi tempat sumbatan ribuan gambar dengan pelbagai gaya. Padahal berita rasmi sudah memaklumkan bahawa setiap info dan gambar di facebook, adalah hak milik facebook dan tidak boleh dipadam buat selamanya oleh tuan punya gambar.

Justeru itu, berpadalah dan fahamilah, diri ini bukan milik kita, ia milik Allah swt dan tertakluk dengan batas-batasan yang ditentukan Allah swt. Bukan tidak boleh meletak gambar tetapi wajiblah menutup aurat penuh, dalam kedudukan yang sopan dan seterusnya tidaklah pula terlalu banyak sehingga boleh membuka ruang fitnah. Khususnya seorang wanita yang boleh saja seorang lelaki jahat memetik gambarnya lalu dibomohkan.

AKHIRNYA
Apapun pengisian bermanfaat dari blog kami dan anda kepada pembaca, ingatlah wahai pembaca, ilmu yang dipelajari semata-mata dari blog dan buku tidak mampu memberikan segalanya buat anda. Carilah ia dari guru dan dari mulut sang guru. Tanpa memperolehinya dari mulut sang guru, ia mungkin sahaja membawa kepada kefahaman yang lain dan maksud yang salah.

Imam As-Syafie berkata :-

من تفقه من بطون الكتب ضيع الأحكام
Ertinya : Sesiapa yang mengaji dan mempelajari ilmu hanya dari perut-perut kitab, akan hilanglah hukum-hakam; ( Tazkirat as-Sami'; hlm 87 )

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
30 Mac 2009

Nurwidad : Semoga kita terpelihara daripada kemungkaran di dalam setiap penghasilan karya penulisan untuk blog masing-masing. Inilah perkara yang saya fikirkan sebelum wujudnya blog ini. Apa yang diharapkan agar setiap artikel yang dimuatkan di dalam blog ini memberi manfaat buat saya sendiri khususnya dan pembaca amnya.

Sebarkan setiap kebaikan dan peringatan sesama muslim agar kita sentiasa berusaha untuk menjadi mukmin yang bertaqwa, insyaAllah.

Monday, May 25, 2009

NISA' SIHAT - Nisa' Kawasan Lumut


Pada 23hb hari sabtu yang lepas, telah berlangsung satu lagi program anjuran Nisa' Kawasan Lumut iaitu NISA' SIHAT. Bagi saya, penyertaan amat positif kerana saya melihat kehadiran dan penyertaan adalah lebih kurang 20 orang.


Program bermula dengan senaman ringan sebagai 'warm-up' anggota badan. Diketua oleh Kak Samrah, salah seorang ahli jawatankuasa Nisa' Kawasan Lumut. Program diteruskan dengan senaman 'poco-poco' yang diketuai oleh beberapa pimpinan Nisa' Kawasan Lumut. Agak kekok bagi mereka yang tidak pernah mengenali dan melihat senaman ini. Tetapi, berkat kesabaran dan keinginan untuk bersama-sama mendapat ilmu baru, peserta yang hadir bersama-sama dengan pimpinan Nisa' Kawasan Lumut berjaya melaksanakannya dengan baik. Berpeluh juga senaman 'poco-poco' ni.


Tidak ketinggalan peringatan dan muhasabah juga diperoleh di dalam program NISA' SIHAT kali ini. Pihak penganjur telah menjemput Pn. Roha untuk menyampaikan nasihat dan peringatan berkaitan kegiatan riadah dan sukan berlandaskan ajaran agama ISLAM yang syumul.

Ini kerana sebagai seorang muslim, aktiviti riadah juga merupakan satu ibadah kita kepada Allah s.w.t. Tetapi ianya bersyarat, iaitu tidak melanggari batas syariat yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam. Antaranya ialah cara berpakaian dan pergaulan ketika aktiviti riadah dijalankan.


Sebelum program berakhir, pihak Nisa' Kawasan Lumut menjalankan sedikit permainan santai dan uji minda. Program berakhir sekitar jam 8.45 pagi.


Semoga dengan aktiviti ini akan mengeratkan lagi silaturrahim di antara kepimpinan Nisa' Kawasan Lumut dan peserta-peserta yang hadir. Pada masa yang sama, Nisa' Kawasan Lumut telah mendapat ahli baru daripada masyarakat yang berminat dengan aktiviti yang dianjurkan pada kali ini.


Diharapkan agar Nisa' Kawasan Lumut akan lebih dikenali untuk menyampaikan misi mereka berdakwah kepada masyarakat terutamanya golongan muda yang menjadi motto Nisa' (Connecting Youth - Penghubung Generasi Muda).


Marilah bersama-sama memartabatkan Islam sebagai agama yang syumul dalam segenap aspek kehidupan kita.


Firman Allah s.w.t di dalam kitab suci Al-Quranul Karim yang bermaksud :


"Pada hari ini telah Aku sempurnakan untuk kalian agama kalian dan telah kusempurnakan nikmat-Ku bagi kalian dan Aku ridha Islam sebagai agama kalian."
(Al Maidah : 3)


"Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam”
(Ali Imran : 19)

Wednesday, May 20, 2009

Berani Melakukan Dosa ?

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani


"Wahai orang yang mati hatinya, wahai orang yang menghidupkan nafsunya; hati yang mati adalah hati yang lupa kepada Allah Azza wa Jalla, dan lupa berdzikir kepada-Nya. Maka barangsiapa yang menginginkan hatinya hidup, maka biarkanlah dzikir kepada Zat al-Haq Azza wa Jalla".


(Syekh Abdul Qadir al-Jailani berkata dalam bukunya: al-Fathur-Rabbani wal Faidl ar-Rahmani halaman 164)


Tanda bagi hati yang mati ialah suka melakukan perkara-perkara kemaksiatan dan dosa.


Ingatlah wahai diri dan sekalian muslim. Muhasabah diri kita masing-masing. Jika diri terarah untuk melakukan sebarang perkara ke arah kemaksiatan dan dosa, kembalilah ke jalan Allah s.w.t.


Sebab-sebab hati mati


  1. Rajin belajar, tetapi tidak beramal

Firman Allah,


"Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan apa yang tidak kamu perbuat?. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan."


Surah As-Saff, ayat 2,3


2. Rajin beramal, tetapi tidak ikhlas


3. Makan rezeki yang dikurniakan Allah s.w.t, tetapi tidak bersyukur


4. Tidak redha dengan ketentuan Allah s.w.t


5. Rajin menziarahi kematian, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya


6. Berani melakukan dosa


Mari kita ikuti kisah ketegasan Sayyidina Umar Ibnu Al-Khattab menjalankan hukum Allah walaupun terhadap anak kandung beliau sendiri yang telah melakukan dosa.


Khalifah Sayyidina Umar ibnu Khattab terkenal dengan ketegasannya dalam menjalankan hukum-hukum Allah. Dengan sebab ketegasannya itulah, orang merasa segan dan hormat kepadanya.


Sayyidina Umar mempunyai beberapa orang anak laki-laki, di antaranya ialah Abdul Rahman bin Umar. Ia juga terkenal dengan panggilan Abu Syahamah.


Suatu hari Abu Syahamah diuji oleh Allah dengan satu penyakit yang dideritainya selama kira-kira setahun. Berkat kesabaran dan usahanya akhirnya penyakit tersebut dapat disembuhkan. Sebagai mensyukuri dan tanda gembira terlepas dari ujian Allah ini, Abu Syahamah yang sudah lama tidak keluar rumah itu menghadiri majlis jamuan besar-besaran di sebuah rumah perkampungan Yahudi atas jemputan kawan-kawannya yang juga terdiri daripada kaum Yahudi. Abu Syahamah dan kawan-kawannya berpesta sehingga lupa kepada larangan Allah dengan meminum arak sehingga mabuk.


Dalam keadaan mabuk itu, Abu Syahamah pulang melintasi pagar kaum Bani Najjar. Dia ternampak seorang perempuan Bani Najjar sedang berbaring, lalu mendekatinya dengan maksud untuk memperkosa. Apabila perempuan itu mengetahuinya dia berusaha untuk melarikan diri sehingga berjaya mencakar muka dan mengoyakkan baju Abu Syahamah. Malangnya dia tidak berdaya dan berupaya menahan Abu Syahamah yang sudah dikuasai oleh syaitan. Akhirnya terjadilah perkosaan.


Akibat perkosaan tersebut perempuan itu hamil. Setelah sampai masanya anak yang dikandung oleh perempuan itu pun lahir, lalu dibawa ke Masjid Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam untuk mengadap Amirul Mukminin bagi mengadukan hal kejadian yang menimpa dirinya. Kebetulan yang menjawat jawatan khalifah pada waktu itu ialah Sayyidina Umar ibnu Khattab.


"Wahai Amirul Mukminin, ambillah anak ini kerana engkaulah yang lebih bertanggungjawab untuk memeliharanya daripada aku." Mendengar kenyataan tersebut, Sayyidina Umar merasa terkejut dan hairan. Perempuan itu berkata lagi: "Anak damit ini adalah keturunan darah daging anak tuan yang bernama Abu Syahamah." Sayyidina Umar bertanya: "Dengan jalan halal atau haram?" Perempuan itu dengan berani menjawab: "Ya Amirul Mukminin, Demi Allah yang nyawaku di tanganNya, daripada pihak aku anak ini halal dan daripada pihak Abu Syahamah, anak ini haram."


Sayyidina Umar semakin kebingungan dan tidak faham maksud perempuan Bani Najjar ini lalu menyuruh perempuan ini berterus terang. Perempuan itu pun menceritakan kepada Sayyidina Umar peristiwa yang menimpa dirinya sehingga melahirkan anak itu.


Sayyidina Umar mendengar pengakuan perempuan itu sehingga menitiskan air mata. Kemudian Sayyidina Umar menegaskan: "Wahai perempuan jariyah (jariyah adalah panggilan budak perempuan bagi orang Arab ) , ceritakanlah perkara yang sebenarnya supaya aku dapat menghukum perkara kamu ini dengan sebenar-benarnya dan seadil-adilnya." Perempuan itu menjawab: "Ya Amirul Mukminin, penjelasan apa yang tuan kehendaki daripadaku? Demi Allah!, Sesungguhnya aku tidak berdusta dan aku sanggup bersumpah di hadapan mushaf al-Qur'an."


Lalu Sayyidina Umar mengambil mushaf al-Qur'an dan perempuan itu pun bersumpah bermula dari surah al-Baqarah hingga surah Yassiin. Kemudian bertegas lagi: "Ya Amirul Mukminin, sesungguhnya anak ini adalah dari darah daging anakmu Abu Syahamah." Kemudian Sayyidina Umar berkata: "Wahai jariyah! Demi Allah engkau telah berkata benar." Kemudian beliau berpaling kepada para sahabat, katanya "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, aku berharap kamu semua tetap di sini sehingga aku kembali."


Tak lama kemudian Sayyidina Umar datang lagi sambil membawa wang dan kain untuk diberikan kepada perempuan malang itu: "Wahai jariyah, ambillah wang sebanyak tiga puluh dinar dan sepuluh helai kain ini dan halalkanlah perbuatan anakku terhadapmu di dunia ini dan jika masih ada lagi bakinya, maka ambillah sewaktu berhadapan dengan Allah nanti."


Perempuan itu pun mengambil wang dan kain yang diberikan oleh Sayyidina Umar lalu pulang ke rumah bersama-sama dengan anaknya. Setelah perempuan itu pulang Sayyidina Umar berkata kepada sahabat-sahabatnya: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, tetaplah kamu di sini sehingga aku kembali."


Sayyidina Umar terus pergi menemui anaknya Abu Syahamah yang ketika itu sedang menghadapi hidangan makanan. Setelah mengucap salam dia pun berkata: "Wahai anakku, hampirilah padaku dan marilah kita makan sama-sama. Tidakku sangka inilah hari terakhir bekalanmu untuk kehidupan dunia." Mendengar perkataan ayahnya itu, Abu Syahamah terkejut seraya berkata, "Wahai ayahku, siapakah yang memberitahu bahawa inilah hari terakhir bekalanku untuk kehidupan dunia? Bukankah wahyu itu telah putus setelah wafatnya Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."


Kata Sayyidina Umar: "Wahai anakku, berkata benarlah sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Dia tidak dapat dilihat dengan pandangan mata dan Dialah Maha Luas Penglihatannya."


Sambung Sayyidina Umar lagi: "Masih ingatkah engkau, hari semasa engkau pergi ke satu majlis di perkampungan Yahudi dan mereka telah memberikan kamu minum arak sehingga kamu mabuk? Kemudian dalam keadaan mabuk kamu pulang melintasi perkampungan Bani Najjar di mana engkau bertemu dengan seorang perempuan lalu memperkosanya? Berkata benarlah anakku, kalau tidak engkau akan binasa."


Abu Syahamah mendengar kenyataan ayahnya itu dengan perasaan malu sambil diam membisu. Dengan perlahan beliau membuat pengakuan: "Memang benar aku lakukan hal itu, tapi aku telah menyesal di atas perbuatanku itu." Sayyidina Umar menegaskan: "Tiada guna bagimu menyesal setelah berbuat suatu kerugian. Sesungguhnya engkau adalah anak Amirul Mukminin tiada seorang pun yang berkuasa mengambil tindakan ke atas dirimu, tetapi engkau telah memalukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam."


Kemudian Sayyidina Umar memegang tangan Abu Syahamah lalu membawa ke tempat para sahabat yang sudah sekian lama menunggu. "Mengapa ayahanda melakukan ini?" Tanya Abu Syahamah. "Kerana aku mahu tunaikan hak Allah semasa di dunia supaya aku dapat lepas daripada dituntut di akhirat kelak," jawab Sayyidina Umar dengan tegas.


Abu Syahamah dengan cemas merayu: "Wahai ayahandaku, aku mohon dengan nama Allah, tunaikanlah hak Allah itu di tempat ini, jangan malukan aku di hadapan sahabat Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam." Jawab Sayyidina Umar: "Engkau telah membuat malu dirimu sendiri dan engkau telah menjatuhkan nama baik ayahmu."


Apabila sampai di hadapan para sahabat mereka pun bertanya: "Siapakah di belakangmu wahai Amirul Mukminin?" Jawab Sayyidina Umar: "Wahai sahabatku, sesungguhnya di belakang aku ini adalah anakku sendiri dan dia telah mengaku segala perbuatannya, benarlah perempuan yang menyampaikan khabar tadi."


Kemudian Sayyidina Umar memerintah budaknya (hambanya): "Wahai Muflih (tukang sebat), pukullah anakku Abu Syahamah, rotanlah dia sehingga dia merasa sakit, jangan kasihani dia, setelah itu kamu aku merdekakan kerana Allah." Muflih agak keberatan untuk melakukannya kerana khuatir tindakannya itu akan memberi mudharat kepada Abu Syahamah, tetapi terpaksa mengalah apabila diperintah oleh Sayyidina Umar.


Tatkala dia memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali, kedengaranlah Abu Syahamah dalam kesakitan: "Wahai ayahandaku, rasanya seperti api yang menyala pada jasadku." Jawab Sayyidina Umar: "Wahai anakku, jasad ayahmu ini terasa lebih panas dari jasadmu."


Kemudian Sayyidina Umar memerintah Muflih memukul sebanyak sepuluh rotan lagi. Berkata Abu Syahamah: "Wahai ayahandaku, tinggalkanlah aku supaya aku dapat mengambil sedikit kesenangan."Jawab sayyidina Umar: "Seandainya ahli neraka dapat menuntut kesenangan, maka aku pasti akan berikan kepadamu kesenangan."


Setelah itu Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh rotan lagi. Abu Syahamah merayu: "Wahai ayahandaku aku mohon kepadamu dengan nama Allah, tinggalkanlah aku supaya aku dapat bertaubat." Jawab Sayyidina Umar dengan pilu: "Wahai anakandaku, apabila selesai aku menjalankan hak Allah, jika engkau hendak bertaubat pun maka bertaubatlah dan jika engkau hendak melakukan dosa itu lagi pun maka lakukanlah dan engkau akan dipukul seumpama ini lagi."


Selanjutnya Sayyidina Umar menyuruh Muflih memukul Abu Syahamah sebanyak sepuluh kali sebatan lagi. Abu Syahamah terus merayu: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu berilah aku minum seteguk air." Sayyidina Umar menjawab dengan tegas: "Wahai anakandaku, seandainya ahli neraka dapat meminta air untuk diminum, maka aku akan berikan padamu air minum."


Perintah Sayyidina Umar diteruskan dengan meminta Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Abu Syahamah mohon dia dikasihani: "Wahai ayahandaku, dengan nama Allah aku mohon kepadamu kasihanilah aku." Sayyidina Umar dengan sayu menjawab: "Wahai anakandaku, kalau aku kasihankan kamu di dunia, maka engkau tidak akan dikasihani di akhirat."


Sayyidina Umar selanjutnya memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali sebatan. Abu Syahamah dengan nada yang lemah berkata: "Wahai ayahandaku, tak kasihankah ayahanda melihat keadaan aku begini sebelum aku mati?" Sayyidina Umar menjawab: "Wahai anakandaku, aku akan hairan kepadamu sekiranya engkau masih hidup dan jika engkau mati kita akan berjumpa di akhirat nanti."


Sayyidina Umar terus memerintahkan Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh rotan. Dalam keadan semakin lemah Abu Syahamah berkata; "Wahai ayahandaku, rasanya seperti sudah sampai ajalku....." Sayyidina Umar dengan perasaan sedih berkata: "Wahai anakandaku, jika engkau bertemu Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam, sampaikan salamku kepadanya, katakan bahawa ayahandamu memukul dirimu sehingga kau mati."


Di saat yang semakin hiba ini Sayyidina Umar terus menyuruh Abu Muflih memukul lagi sebanyak sepuluh kali rotan. Setelah itu Abu Syahamah dengan kudrat yang semakin lemah berusaha memohon simpati kepada para hadirin: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, mengapa kamu tidak meminta pada ayahandaku supaya memaafkan aku saja?"


Kemudian salah seorang sahabat pun menghampiri Sayyidina Umar dan berkatas: "Wahai Amirul Mukminin, hentikanlah pukulan ke atas anakmu itu dan kasihanilah dia." Sayyidina Umar dengan tegas berkata: "Wahai sekalian sahabat Rasulullah, apakah kamu tidak membaca ayat Allah dalam surah an-Nuur ayat 2 ::


Maksudnya;


"Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman. "


Mendengar penjelasan Sayyidina Umar itu, sahabat Rasulullah pun diam tidak membantah, sementara itu Sayyidina Umar terus memerintah Muflih memukul sepuluh sebatan lagi.


Akhirnya Abu Syahamah mengangkat kepala dan mengucapkan salam dengan suara yang sangat kuat sebagai salam perpisahan yang tidak akan berjumpa lagi sehingga hari kiamat.


Kemudian berkata Sayyidina Umar: "Wahai Muflih, pukullah lagi sebagai menunaikan hak Allah." Muflih pun meneruskan pukulan untuk ke seratus kalinya.


"Wahai Muflih, cukuplah pukulanmu itu," perintah Sayyidina Umar apabila melihat anaknya tidak bergerak lagi. Setelah itu Sayyidina Umar mengisytiharkan: "Wahai sekalian umat Islam, bahawasanya anakku Abu Syahamah telah pergi menemui Allah."


Mendengar pengumuman itu ramailah umat Islam datang ke masjid sehingga masjid menjadi sesak. Ada di antara mereka sedih dan terharu, malah ramai yang menangis melihat peristiwa tersebut.


Menurut sumber lain, daripada Kitab Sirah Umar bin al-Khattab al-Khalifatul Rasyid umumnya masyarakat berpendapat kematian Abu Syahamah adalah disebabkan oleh pukulan rotan ayahnya sendiri Sayyidina Umar Radhiallah 'Anhu.


Setelah selesai jenazah Abu Syahamah dikebumikan, pada malamnya Ibnu Abbas Radhiallahu 'Anhuma bermimpi bertemu dengan Rasulullah Sallalllahu 'Alaihi Wasallam yang wajah baginda seperti bulan purnama, berpakaian putih manakala Abu Syahamah duduk di hadapan baginda dengan berpakaian hijau.


Setelah itu Rasululah Sallallahu 'Alaihi Wasallam berkata: "Wahai anak bapa saudaraku, sampaikan salamku pada Umar dan beritahu kerpadanya bahawa Allah telah membalas setiap kebajikannya kerana tidak mencuai-cuaikan hak Allah dan suatu kebahagiaan baginya sebab Allah telah menyediakan baginya beberapa mahligai dan beberapa bilik di dalam Jannatun Na'im. Bahawa sesungguhnya Abu Syahamah telah sampai pada tingkatan orang-orang yang benar di sisi Allah Yang Maha Kuasa.


Oleh yang demikian, marilah bersama-sama kita jaga nikmat Iman dan Islam yang dikurniakan Allah s.w.t kepada kita. Moga terpelihara dari melakukan perkara kemaksiatan dan dosa yang boleh menyebabkan hati mati seterusnya jauh dari Allah s.w.t.


Tuesday, May 19, 2009

Tag Award daripada CT !

Peraturan nak jawab tag ni ialah:

1. Copy badge "2009 Cute's 3logger Award" untuk diletakkan di blog anda.


2. Link/ceritakan kembali siapa yang memberikan award ini kepada anda.

siapa lagi kalau bukan sahabat blogers yang kedua tahu akan kewujudan blog nurwidad nie...cik ct hadijah :)

Tak sangka yang cik ct nie boleh jadi sahabat karib...mula-mula kenal dia nie, pening jugak...hehe..jangan marah ye cik ct...tapi itulah titik-titik pertemuan untuk kita kekal bersahabat hingga sekarang dan jika diizinkan Allah, hingga ke syurga...amin.

Ada beberapa persamaan antara kami berdua...kedua-duanya lahir pada bulan Ogos, bulan kemerdekaan...jadi, ada beberapa sikap / perangai yang agak sama...betul ke ct? (^_^)

3. Setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta/hobi diri sendiri sebelum memilih penerima award seterusnya (anda di-tag).

Ini adalah soalan yang paling tak suka nak jawab. Soalannya baik, sebab kita akan tahu sejauh mana kita mengenali diri sendiri...huhu..tapi tetap tak suka...disebabkan dah di tag, kena cuba jugaklah...(ayat tengah pening nie...)


  1. Seorang yang pendiam

  2. Suka menjahit...dah lama tak menjahit, skill pun dah kurang

  3. Suka benda-benda yang kreatif seperti kraftangan

  4. Suka bunga

  5. Tinggi (sejak dari sekolah, mesti berdiri di belakang sekali masa beratur..bagi laluan kat kawan-kawan..hehe)

  6. Sudah berkeluarga...

  7. Wanita berkerjaya (dengan takdirNya, mula-mula dapat kerja kat tempat yang memang tak nak - bandar besar (Shah Alam dan Kuala Lumpur) last sekali kat Putrajaya sebelum berpindah ke negeri asal, negeri Perak Darul Ridzuan, alhamdulillah :)

  8. Baru dapat anak saudara macam ct jugak :)...Nama diberi Aqeel Haziq b. Mohamad Hirzan

*minta izin ye mama haziq :)


9. Ada 6 orang adik kandung, 7 orang adik ipar....ramai tak? syukur, alhamdulillah (^_^)

10. Ok, dah last dah...apa lagi ye?...sekarang ni kuat makan dan mengantuk (tapi tak boleh tido..)


4. Anda perlu memilih 6 penerima award seterusnya dan menyatakan nama mereka di blog.

Hanya orang yang terpilih sahaja, boleh kan..ct pun 2 orang ja...



5. Jangan lupa untuk melawat blog mereka dan meninggalkan komen yang menyatakan:

"anda telah di tag - sila layari blog saya untuk mendapatkan award anda"

Thursday, May 14, 2009

Kuasai Diri !!!


"Andai kata kita punya sepasang sayap, akan ku bawa diri kita menyelusuri sorotan tarbiyah ini.. kerana harapan ISLAM ke atas kita. Andai kata kau gugur di atas jalan ini, maka janji-janji ALLAH SWT setia bersamamu. Ingatlah wahai saudaraku..landasan ke syurga penuh dengan ujian dan kepayahan dan landasan neraka itu pula penuh dengan nafsu dan syahwat. Maka tetaplah kamu atas landasan tarbiyah kerana itulah yang terbaik buat kita"


"Alangkah bahagianya hidup ini sentiasa bergantung belas dari YANG MAHA ESA. Kegelisahan & musibah yang datang tidak diduga itu sebagai cabaran & ujian dalam hidup ini. Moga kasih sayang ALLAH sentiasa mengelilingi kita.."


Binalah duniamu dan ketahuilah bahawa ia akan hancurBinalah akhiratmu dan ketahuilah bahawa ia kekal selama-lamanya.

Wednesday, May 13, 2009

Group Binding Nisa' Lumut

Pada 10 Mei 2009 MT Nisa' Perak terdiri daripada , Haliza , Juliana dan Mazleen telah dijemput untuk melaksanakan program group binding Nisa' Lumut. Ketua Nisa' Lumut , Roslina bersama dengan jawatankuasanya telah berjaya mengumpul ahli-ahli nisa' bagi menjayakan program tersebut.
Kami mulakan program dengan ICE BREAKING. Berkenalan dengan ahli-ahli di dalam kumpulan. Untuk mengikat tautan hati dan mantapkan Ukhuwah Fillah.. mesti bermula dengan taaruf dan berkenal kenalan.. Sempat Bersama berkenalan dengan pimpinan Nisa' Lumut yang baru bagi sessi 2009-2011.
Sesi Taklimat dan penerangan berkenaan dengan Nisa dimulakan.. Walaupun ada sedikit masalah laptop yang telah diserang virus.. penerangan berkenaan dengan nisa' dapat diteruskan..'The latest Slide show' tentang aktiviti yang dilaksanakan oleh nisa' tidak dapat dipaparkan.. Kuiz berkenaan dengan nisa' dapat dijawab dengan baik oleh ahli-ahli nisa'... Peserta yang hadir memberi respon yang positif dan aktif dalam mengambil bahagian.

Dalam Slot Games Menara impian, peserta telah membina menara impian yang sangat menarik, kreatif dan mempunyai falsafah yang tersendiri yang menunjukkan kematangan dalam hala tuju nisa' pada masa hadapan.. Tahniah diucapkan..

Satu keistimewaan yang dapat dilihat, kaum ibu dan muslimat memberi sepenuh sokongan moral terhadap program nisa' ... Syabas!!!
Sekalung penghargaan buat nisa' ipoh timur kerana turut membantu menjayakan program group binding pada kali nie.. Syukran..

*Syukran jazilan buat team Nisa' Perak kerana sudi menjayakan program Group Binding Nisa' Lumut..moga usaha dan pengorbanan kalian diterima Allah s.w.t sebagai satu kebajikan di dunia ini untuk bekalan di akhirat kelak...barakAllahu fik (^_^)

“Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahwa bagi mereka disediakan surga-surga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. Setiap mereka diberi rezeki buah-buahan dalam surga-surga itu, mereka mengatakan: "Inilah yang pernah diberikan kepada kami dahulu." Mereka diberi buah-buahan yang serupa dan untuk mereka di dalamnya ada istri-istri yang suci dan mereka kekal di dalamnya.”

Surah Al-Baqarah Ayat 25

Sumber : http://nisaperak/blogspot.com

Tuesday, May 12, 2009

Berpesan-pesan Sesama Mukmin



“Sesungguhnya tribulasi bukanlah tanda lemah atau matinya pendakwah Islam, bahkan ia merupakan bukti wujudnya kehidupan, pergerakan dan kekuatan. Orang yang mati terbujur tidak akan disebat dan tidak akan disakiti. Yang akan dipukul dan disakiti adalah orang yang hidup, bergerak dan menentang.”
DR. YUSSOF QARDAWI

Friday, May 08, 2009

Kenali NISA' (Connecting Youth)



TENTANG NISA'


Kebajikan. Kemanusiaan. Kemasyarakatan.



NISA’ berhasrat untuk menjalin hubungan akrab dengan pelbagai pihak seperti kementerian, agensi kerajaan, media serta NGO dalam usaha NISA’ untuk berkhidmat kepada masyarakat.


MISI NISA'


NISA' berhasrat melahirkan generasi yang mengagungkan agama, mencintai ilmu & berakhlak mulia. Misi NISA' ini akan tercapai melalui program-program yang dirancang dengan teliti, disemai dengan kasih sayang, dan disampaikan dengan penuh keikhlasan.


KEAHLIAN NISA'


Wanita berusia 15 - 40 tahun



LOGO DAN SLOGAN NISA'


Slogan NISA' ialah "Penghubung Generasi Muda" atau "Connecting Youth", menggambarkan kesungguhan NISA' untuk menyatukan generasi muda melalui pendekatan bersepadu dalam usaha meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.


Logo NISA' ini direka khusus bagi menggambarkan imej terkini dan perubahan NISA'.


Huruf "N" pada logo bukan sahaja melambangkan nama NISA', malahan ia membawa maksud "New" ataupun "Baru" dari sudut pendekatan dan idea baru untuk generasi muda.



Warna kelabu menggambarkan impian NISA' untuk menjadi sebuah organisasi profesional bagi golongan muda yang terbilang.



Warna ungu pula mewakili imej baru NISA' yang ceria, segar, serta 'loving and caring' terhadap generasi muda.



Latar belakang yang berbentuk bulatan menggambarkan matlamat NISA' yang ingin meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat.





p/s: JOM JOIN NISA' !! Hubungi wakil NISA' yang berdekatan dengan anda. Layari http://www.webnisa.net/ untuk maklumat lanjut !!!

"Bila Musim CINTA Sudah Berlalu..."

Bila musim CINTA sudah berlalu..."


DIPETIK DARI:http://genta-rasa.com/

Seorang isteri mengeluh mengapa suaminya sudah semakin jarang mengirim pesanan ringkas berisikan kata-kata cinta, sayang, rindu seperti mula-mula kahwin dahulu. Kalau adapun tidak sehangat dan sekerap dulu. Mungkin sepatah hanya sepatah OK, “ya” atau “tidak” sahaja yang tertera di layar telefon bimbit. Apakah dia sudah jemu? Atau cintanya sudah berkurang?


Begitulah detik hati si isteri. Kadang-kadang suami sudah semakin mahal dengan senyuman. Kata-katanya boleh dikira. Sudah banyak diam. Pujuk rayu? Ah, jauh sekali.


Memang begitulah resmi lelaki, semakin banyak bebanan semakin sedikit luahan perkataan. Kesukaran kekadang menimbulkan kebisuan. Itu petanda ketenangan semakin dihakis. Dihakis oleh cabaran kehidupan. Menjadi seorang suami bererti mengucapkan selamat tinggal kepada alam bujang yang penuh kebebasan dan serba boleh. Jika tidak pandai mengawal hati, mengurus emosi… semakin bertambah usia perkahwinan, hidup akan menjadi semakin sunyi.


Namun, saya sedar apa yang saya tulis ini kemungkinan akan dicebikkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta. Mana mungkin pasangan yang begitu setia berSMS (kekadang sampai mencecah 100 kali sehari!) atau “bergayut” berjam-jam lamanya di gagang telefon boleh menjadi beku dan kaku seperti itu. Tidak mungkin “kami” ataupun aku jadi begitu. Mungkin itulah yang berbunga di hati kini. Tetapi nanti dulu, pesan saya cinta itu pasti diuji.Seorang sahabat saya secara bergurau menjelaskan betapa mulut seorang wanita semakin becok apabila berumah tangga, sebaliknya mulut seorang lelaki menjadi semakin terkunci bila bergelar suami. Mengapa?


Menurutnya lagi, isteri yang mula diasak oleh kesibukan tugas sebagai suri rumah (lebih-lebih lagi apabila menjadi seorang ibu), akan banyak bercakap, mengarah, menegur itu dan ini. Jika tidak dikawal, seorang isteri boleh bertukar daripada seorang wanita penyengap menjadi peleter yang tidak pernah rehat.Manakala suami yang dahulunya begitu besar ketawa dan lebar senyumnya, perlahan-lahan menjadi seorang pemenung dan pendiam. Kesukaran tugas dan beban tanggung-jawab menyebabkan seorang lelaki banyak berfikir dan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah. Ya, potensi lelaki menjadi “ahli falsafah” semakin menyerlah apabila menjadi seorang suami apatah lagi menjadi seorang ayah!Rupa-rupanya ketawa yang lebar dahulu bukan kerana benar-benar gembira tetapi kerana belum mengenal erti kesusahan.


Begitu juga yang senyap dahulu bukan kerana benar-benar pemalu tetapi kerana belum dicabar kesibukan dan cabaran tugasan. Hakikatnya, lelaki dan wanita sama-sama teruji di dalam sebuah gelanggang mujahadah yang dinamakan sebuah rumah tangga.Musim cinta sudah berlaku. Tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa perlahan-lahan bertukar menjadi taufan. Jika tidak bijak dan sabar mengawal kemudi hati, pasti tersungkur peribadi dan runtuhlah pertautan dua hati.


Benarlah kata hukama, perkahwinan boleh dimulakan oleh sebuah cinta, tetapi hanya disempurnakan oleh satu tanggung jawab.Apa maksud tanggung jawab? Ia adalah satu beban, tugasan atau amanah yang mesti kita “tanggung” di dunia, “disoal” di akhirat dan mesti kita jawab di hadapan Allah SWT kelak. Sekalipun badai ujian rumah tangga ada kala begitu dahsyat, tetapi kita akan teruskan juga demi satu tanggung-jawab. Kita sedar bahawa menjadi seorang suami mahupun seorang isteri bukan hanya untuk menikmati keseronokan dan kemanisan yang diingini oleh fitrah setiap manusia tetapi yang lebih penting berkahwin itu adalah perintah dan amanah daripada Allah.Telah sering kita diingatkan, bahawa untuk mengukuhkan hubungan antara makhluk (dalam konteks ini antara suami dengan isteri), Khalik (Allah) wajib menjadi matlamatnya. Begitu juga dengan perkahwinan, matlamatnya ialah mencari keredaan Allah.


Rumah tangga hakikatnya adalah satu gelanggang ibadah untuk meraih pahala dan keredaan-Nya. Bukan cinta isteri atau cinta suami yang menjadi matlamatnya, tetapi itu hanya alat. Alat yang digunakan untuk mencapai matlamat. Ertinya, cintakan suami dan isteri mesti berdasarkan rasa cinta kepada Allah. Bila ini menjadi asas dan terasnya, maka itulah yang dikatakan bercinta dengan rasa tanggung jawab.Cinta tidak boleh terpisah daripada tanggung jawab. Gabungan keduanya yang melahirkan rumah tangga yang bahagia. Jika ada cinta tetapi tidak ada rasa tanggung jawab, lambat laun cinta akan meluntur dan rumah tangga akan terkubur. Sebaliknya, jika ada tanggung jawab tetapi tidak ada rasa cinta, maka hilanglah seri dan kemanisan sebuah rumah tangga… umpama hidup segan, mati tak mahu.


Ketika kemanisan bertukar pahit, ketika keseronokan beralih kepada kesukaran, maka tinggallah rasa tanggung jawab untuk menyempurnakan sebuah perkahwinan. Ketika itu rasa cinta mungkin sedikit terumbang-ambing atau seakan-akan mula meminggir, tetapi rasa tanggung jawablah yang akan mengikatnya kembali dengan setia dan sabar. Genggam bara api biar sampai jadi arang.


Begitulah kekuatan satu tanggung jawab, yang mampu bertahan ketika cuaca rumah tangga tenang ataupun bergelombang.Salah satu ujian terbesar dalam rumah tangga ialah terserlahnya warna sebenar pasangan kita. Saat itu akan tiba. Dan jangan terkejut jika kita dapati dia seolah-olah insan lain yang belum pernah kita kenali. Hairan melihat perubahannya? Jangan, kerana dia pun hairan juga melihat perubahan kita. Hakikatnya, kita dan dia sama-sama berubah. Warna sebenar (true colours) yang menurut pakar-pakar psikologi hanya akan muncul apabila mencecah lima tahun usia perkahwinan.


Justeru, jangan sekali-kali kita merasakan sudah kenal dengan pasangan kita walaupun telah lama hidup bersama sebagai suami isteri. Proses perkenalan antara sesama pasangan mestilah diusahakan dan diteruskan secara konsisten. Ini adalah satu langkah ke arah pengukuhan cinta dalam rumah tangga. Bukankah tak kenal maka tak cinta? Jadi, apabila cinta tergugat, itu adalah petanda yang menunjukkan proses pengenalan juga telah terencat.Oleh itu, tunggu apa lagi?


Teruskanlah berkenalan dengan pasangan anda dengan cara bertanya, berkongsi, meluahkan dan meminta pandangan. Jangan sekali-kali menggunakan “fail lama” untuk mencipta keserasian baru. Terimalah hakikat bahawa kesukaan, minat, hobi dan kecenderungan pasangan kita berubah. Warna yang terang kesukaannya dahulu mungkin bertukar menjadi warna redup seiring pertambahan usianya kini. Mungkin corak seleranya juga turut berubah bersama penyakit fizikalnya yang mula singgah. Begitu jugalah dengan apa yang gemar ditonton, didengar, dilihat dan dirasainya. Mungkin jauh berbeza daripada saat mula-mula kahwin dahulu.Membina cinta ketika tarikan fizikal dan keinginan seksual sudah menurun memerlukan keikhlasan. Di mana lagi sumber keikhlasan jika tidak kembali kepada iman?


Ertinya, kembali kepada Allah. Percayalah keadaan yang serba-serbi tak kena, hilang tumpuan, kurang selera makan, tidak ada “mood” untuk bercerita dan berbicara adalah bukti terhakisnya ketenangan dalam hati. Dan itu semua adalah berpunca darinya lalai dan alpanya hati daripada zikirullah (mengingati Allah).


Firman Allah:


“Ketahuilah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang.”

Ar Ra’d: 28


Iman dalam hati akan menyebabkan suami dan isteri saling bertanggung-jawab. Walaupun berat terasanya mulut untuk berbual dengan isteri akibat beban masalah menyara rumah tangga, namun digagahi jua oleh kesedaran kata-kata yang baik itu adalah satu sedekah.


Walaupun terasa sukarnya mengukir senyuman di hadapan suami bahana kerenah anak-anak, tetapi isteri yang beriman terus bermujahadah… dan terus tersenyum di hadapan suaminya justeru menyedari senyuman itu adalah satu sunah. Sedekah dan sunah yang dilakukan oleh suami dan isteri inilah yang menurunkan sakinah dan mawaddah dalam sebuah rumah tangga.Ya, bila musim cinta sudah berlalu, semailah “pohon” tanggung jawab. Insya-Allah, musim cinta akan kembali dan ketenangan dan kebahagiaan akan kembali harum dan mewangi!


Tip untuk bertanggung jawab:


Kenangkan selalu bahawa isteri atau suami kita adalah milik Allah bukan milik kita.


Dalam apa jua perselisihan, carilah di mana kedudukan syariat dalam hal itu.


Sentiasa bermuzakarah dalam membuat keputusan.


Sering melakukan solat istikharah dan hajat dalam menghadapi sesuatu ujian.


Bayangkan pertemuan yang indah dengan semua anggota keluarga di syurga nanti apabila masing-masing bertanggung jawab dengan perintah Allah.


Takutkan neraka dan bimbangkanlah seksanya jika mengabaikan tanggung jawab.


Bila suasana terlalu sukar, bisikan di hati… itu semua sementara, pertolongan Allah sudah dekat.

Thursday, May 07, 2009

Ingin Cantik??Solatlah!!


Subhanallah, Maha Suci ALLAH yang mengetahui setiap suruhan dan laranganNya. Adakah anda sebagai seorang wanita pernah terfikir betapa banyak kelebihan-kelebihan yang terkandung dalam pergerakan solat yang dilakukan setiap hari? Percaya atau tidak setiap gerakan dalam solat telah mendahului kepercayaan orang tua-tua dalam memberi petua turun-temurun kepada generasi yang akan datang?


Mereka menemui bahawa gerakan yang dikenali sebagai senaman dapat mengekalkan kecantikan dalaman seorang wanita. Bahkan dari segi sains, solat dapat mengalirkan aliran darah dengan begitu sempurna. Di kesempatan ini, mari kita berkongsi persamaan antara pergerakan solat dan pergerakan senaman dari petua orang dahulu kala. Kebesaran dan kebijaksanaan ALLAH perlu dikaji oleh setiap insan kerana ada sebab dan musabab kenapa ALLAH menjadikan begini? kenapa tidak begitu? begitu mengapa tidak begini?


Ada sedikit ilmu yang ingin dikongsikan bersama setiap insan yang bergelar hawa yang bakal melahirkan pejuang-pejuang islam yang bakal menegakkan AGAMA ISLAM dimuka bumi.
SENAMAN-SENAMAN YANG MENYAMAI PERGERAKAN SOLAT.


1. Faedah Halus Pandangan: Menurut petua orang tua-tua Melayu, senaman mata ini mengelakkan diri anda dari mudah pusing mata dan dapat menajamkan fokus mata.


Gerakan: Apabila terjaga dari tidur, pejamkan kedua mata. Baring terlentang dalam keadaan santai tenang. Gerakkan bola mata seolah-olah anda memandang ke arah kepala anda, kaki, kiri dan kanan. Kemudian pusingkan bola mata itu mengikut arah jarum jam. Ulangi perkara yang sama tapi kali ini melawan arah jarum jam.


Perasan atau tidak kedudukan itu sama seperti kedudukan kita sewaktu berdiri tegak mengadap ALLAH. Cuma dalam senaman ini kita berada dalam keadaan berbaring. Manakala mata kita sama gerakan seperti memberi salam ke kanan dan kiri dalam solat.


2.Faedah Angin Tunggal: Gerakan ini membantu mengeluarkan angin dari dalam perut, mengurut dan menyengkak rahim serta menyempitkan anggota sulit wanita.


Gerakan: Baring terlentang, lunjurkan kedua-dua kaki. Tarik nafas. Kemudian angkat kaki kanan lurus ke udara. Bengkokkan lutut anda dan bawa ia ke arah dada sambil anda lepaskan nafas. Selepas itu, dalam keadaan nafas biasa, paut lutut yang dibengkokkan menggunakan kedua-dua tangan anda ke arah dada dan tahankan posisi ini selama 7 saat. Tukar kaki dan ulangi proses yang sama.


Keadaan ini sama seperti kedudukan sewaktu kita sujud mengadap ALLAH,ada sebab mengapa sujud yang panjang didalam solat itu lebih baik berbanding dari tergopoh gapah.


3. Faedah Angin Kembar: Membantu mengeluarkan angin serta mengurut pinggul serta merampingkan pinggang wanita.


Gerakan: Baring terlentang. Angkat kedua-dua kaki anda tegak ke udara. Tarik nafas. Kemudian bengkokkan kedua-dua lutut anda itu ke dada sambil lepaskan nafas. Dalam keadaan nafas biasa pula, pautlah kedua lutut itu ke arah dada dengan kedua-dua tangan anda. Tahankan posisi ini selama 7 saat.


Sewaktu mengangkat kedua-dua kaki ke atas keadaan ini pula hampir menyamai kedudukan sewaktu rukuk di dalam solat,kemudian apabila kaki dibengkokkan ke dada itu sama seperti kedudukan kita bangun daripada rukuk dan terus sujud.


Semoga apa yang dikongsikan ini sedikit sebanyak menyedarkan kita bahawa pemikiran manusia dan sains sebenarnya telah dikhabarkan oleh ALLAH TAALA dalam 'bahasa indahnya' kepada semua manusia. Terpulang kepada manusia samada akal yang ALLAH kurniakan ini digunakan ke arah kebaikan atau keburukan.


Wallahu' alam.


p/s : - Allah menerangkan di dalam al-quran bahawa manusia sentiasa dihinggapi rasa gelisah, bakhil dan sifat keji yang lain. Solat adalah satu cara untuk menghilangkan sifat-sifat keji ini.


Firman Allah SWT yang bermaksud ;


Sesungguhnya manusia dijadikan bertabiatkan resah gelisah (lagi bakhil kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah. Dan apabila ia beroleh kesenangan, ia sangat bakhil kedekut. Kecuali orang-orang yang mengerjakan sembahyang. Iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyangnya.


(al-Ma'arij 19-23)



cahayasyurga

Editor : arisHa27