Tuesday, July 14, 2009

Kisah Tauladan... Sambungan Entry "Pengalaman"

Segala puji bagi Allah yang telah memberikan kesempatan buat diri ini menulis kisah tauladan yang telah diceritakan semasa menjalankan taklifan beberapa minggu yang lepas. Kisah ini ingin saya coretkan untuk simpanan peribadi saya juga di masa-masa akan datang selain daripada untuk tatapan pengunjung blog saya. Jom kita renungi dan mengambil 'ibrah (pengajaran) daripada kisah-kisah yang dipaparkan.

KISAH 1: KERANA SEBIJI EPAL

Di sebuah pekan kecil bernama Jilan, tinggal seorang pemuda bernama Abu Salleh, yang berasal dari keturunan Imam Hasan r.a. Pada suatu hari ketika sedang leka bertafakur memikirkan kebesaran Allah SWT di tebing sebatang sungai, beliau ternampak gugusan buah epal yang dihanyutkan oleh arus sungai tersebut.

Menyedari keadaan dirinya yang sangat lapar kerana telah beberapa hari tidak menjamah makanan, tanpa berfikir panjang beliau pun mengambil sebiji epal dari sungai itu lalu dimakan.

Tiba-tiba timbullah rasa kesal dalam hatinya kerana menyedari bahawa beliau telah memakan epal tersebut tanpa izin tuannya. Lalu Abu Salleh berjalan menyusur sungai tersebut hinggalah beliau ternampak sebatang pohon epal yang lebat buahnya dan batangnya berjuntaian di tepi sungai tersebut. Yakinlah Abu Salleh bahawa inilah pohon yang dicari, maka beliau pun segera menemui pemilik pohon epal berkenaan.

Tatkala melihat Abu Salleh memohon maaf hanya kerana termakan sebiji epal yang dihanyutkan oleh arus sungai, yakinlah pemilik pohon tersebut bahawa Abu Salleh adalah seorang pemuda yg wara’. Pemilik pohon itu sebenarnya adalah seorang wali yang amat disegani di kawasan itu yang berasal daripada keturunan Imam Husin r.a, dikenali sbg Syeikh Abdullah.

Beliau tertarik pada keikhlasan dan ketaqwaan Abu Salleh lalu berhasrat untuk mengujinya dengan mengenakan syarat agar Abu Salleh bekerja di ladangnya selama 12 tahun. Tanpa banyak soal Abu Salleh pun bersetuju dengan syarat tersebut. Setelah tamat tempoh 12 tahun, sekali lagi Abu Salleh berjumpa dgn Syeikh Abdullah untuk memohon maaf atas peristiwa lalu.

Kali ini Syeikh Abdullah bersetuju tetapi beliau mengenakan syarat baru kepada Abu Salleh. Syeikh Abdullah bersedia memaafkan Abu Salleh seandainya beliau menikahi puterinya, seorang yang digambarkan sebagai lumpuh, buta, tuli dan bisu. Apabila memikirkan balasan yang bakal diterima di kemudian hari seandainya tidak memperoleh kemaafan daripada Syeikh Abdullah, Abu Salleh redha dan bersetuju untuk menikahi puteri Syeikh Abdullah.

Pada malam pernikahan tersebut, Abu Salleh masuk ke kamar tidur dan memberi salam kepada isterinya. Melihat seorang wanita yg cantik berada di dalam bilik itu, Abu Salleh segera beredar menuju ke tempat Syeikh Abdullah kerana menyangkakan ada wanita lain yg menceroboh masuk ke dalam kamar tidurnya. Syeikh Abdullah lantas tersenyum dan berkata: “Wahai Abu Salleh, memang itulah puteriku, Ummu Khair Fatimah. Ku katakan dia lumpuh kerana dia tidak pernah menjejakkan kakinya ke tempat maksiat, buta kerana tidak pernah melihat perkara haram, tuli kerana tidak pernah mendengar perkara khurafat dan bisu kerana tidak pernah menuturkan sesuatu yg sia-sia.”

Bersyukurlah Abu Salleh atas anugerah yg tak terhingga, hikmah daripada sifat sabar dan redha terhadap ujian Allah SWT ke atas dirinya. Hasil dari perkahwinan pasangan yang soleh ini lahirlah seorang wali Allah yg amat masyhur dari keturunan Rasulullah SAW, yang bernama Syeikh Abdul Kadir Jailani. Beliau amat dikenali dengan gelaran “Mahyuddin” bermaksud “Yang Menghidupkan Agama”.

KISAH 2: AHLI SUFI YANG DIPENJARA

Zun Nun Al-Misri, seorang ahli sufi telah dipenjara oleh pemerintah di zamannya. Ketika di dalam penjara tersebut, beliau tidak mahu menjamah sebarang makanan yang diberikan oleh pihak penjara. Mendengar akan berita sedemikian oleh anak-anak muridnya, mereka yang amat memahami akan sifat guru mereka, maka beramai-ramailah anak murid Zun Nun Al-Misri memasakkan makanan untuk dihantar ke penjara.

Untuk pengetahuan semua, Zun Nun Al-Misri tidak juga menyentuh makanan yang telah disediakan oleh anak-anak muridnya sehinggalah beliau pengsan akibat tiada tenaga lagi. Ketika beliau terjaga daripada pengsan, anak-anak muridnya pergi menemui guru mereka untuk bertanyakan akan hal mengapa makanan yang dimasak oleh mereka tidak juga dijamah.

Apakah jawapan Zun Nun Al-Misri? Beliau menegaskan bahawa, "aku tidak menjamah makanan yang diberikan oleh pihak penjara kerana aku tahu, mereka bukanlah dari kalangan yang benar-benar menjaga syariat agama, dan aku tidak pula menjamah makanan yang kamu berikan melalui mereka kerana yang membawa makanan tersebut kepadaku ialah pengawal penjara. Dia juga termasuk dari kalangan yang tidak menjaga agama. Baru sekarang aku dapat menjamah makanan kerana kamu sendiri, anak-anak muridku yang memberikannya kepadaku".

Bagaimana sahabat-sahabat sekalian? Begitulah keadaannya seorang ahli sufi yang wara', begitu menjaga syariat agama.

KISAH 3: PEMIMPIN CONTOH

Ketika zaman pemerintahan Khalifah Umar Al-Khatab, beliau terkenal sebagai seorang Amirul
Mukminin yang bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan kebenaran agama Islam juga seorang yang tegas dan adil.

Semasa dalam melaksanakan tugas dan amanah sebagai seorang pemimpin, beliau yang sedang membahagikan minyak-minyak untuk diagihkan kepada rakyat di bawah kepimpinannya, cucu-cucu beliau juga turut serta berada di tempat pembahagian minyak dilakukan. Menjadi kebiasaan kanak-kanak, suka bermain dan mencuba sesuatu yang menarik bagi mereka.

Di situ terdapat satu tong besar minyak yang telah diagihkan ke dalam tong-tong kecil untuk rakyat Saidina Umar Al-Khatab. Salah seorang cucu Amirul Mukminin telah menyapu tangannya ke dalam tong tersebut yang masih berbaki di tepi-tepinya lalu menyapu tangannya yang berminyak itu ke rambut. Ibarat meminyakkan rambut.

Menyedari akan hal sedemikian, maka Saidina Umar Al-Khatab terus pergi mendapatkan cucunya. Apakah yang akan dilakukan oleh Saidina Umar? Baginda terus sahaja membotakkan kepala cucunya kerana Saidina Umar menyatakan bahawa adalah tidak layak keturunan beliau mendapat hak yang tidak sepatutnya, iaitu minyak tersebut adalah hak rakyat di bawah kepimpinannya yang memerlukan.

KESIMPULAN

Begitulah 3 kisah yang boleh saya kongsikan bersama-sama pengunjung blog ini. Semoga dengan sedikit usaha dan perkongsian bersama ini, akan memberi manfaat buat kita menjalani kehidupan yang penuh dengan pelbagai cabaran dan dugaan. Apabila berkata tentang "dunia", teringat saya akan satu kisah yang disampaikan oleh sahabat seperjuangan.

Kisah seorang raja yang menawarkan kepada ilmuan-ilmuan dan ulama'-ulama'di bawah pemerintahannya agar menceritakan akan hal perihal dunia. Maka, duduk berbincang dan bermesyuarahlah para ahli ilmuan dan ulama' untuk membentangkan kepada raja mereka.
Sampai masa yang telah ditetapkan, mereka pun membawa buku-buku yang mereka tulis berkenaan hal perihal dunia dengan menggunakan 7 ekor unta. Raja berkata, "Beta tidak mampu untuk membacanya, ringkaskan".

Seterusnya, beberapa tahun kemudian, mereka datang lagi dengan ringkasan buku menggunakan seekor unta. Raja berkata, "Beta tidak mampu untuk membacanya, ringkaskan". Pulanglah para ilmuan dan ulama' dengan arahan raja mereka. Diringkaskan lagi cerita mengenai hal perihal dunia menjadi sebuah buku agak tebal. Dipersembahkan kepada raja mereka, dan kejadian yang sama berulang. Dititahkan pulang semula untuk diringkaskan.
Kemudian, sebuah buku yang tebal itu diringkaskan menjadi buku yang nipis. Raja berkata, "Beta tidak mampu untuk membacanya, ringkaskan". Akhirnya, hasil perbincangan para ilmuan dan ulama', mereka persembahkan hanya satu perkataan yang boleh menggambarkan hal perihal dunia. Raja bertitah, "Apakah dia?". Mereka menjawab, "susah". Begitulah gambaran dunia. Selepas kejadian tersebut, raja mereka pun mangkat.

“Muhammad itu hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa orang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad). Barangsiapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikit pun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur”.
(Surah Ali Imran : ayat 144)

6 comments: