Friday, December 24, 2010

Mahabbah

Assalamualaikum.

Rasanya masa berlalu begitu pantas. Semakin hari, usia bertambah. Begitu juga dengan anakanda tersayang, Aisyah Humaira telah mencecah usia 9 bulan. Masih menyusu badan, alhamdulillah. Syukur di atas kurnia yang diberikan oleh Yang Maha Esa. Semakin lincah dengan pelbagai ragam. Budak kecik nak membesar, banyak akalnya, kan.

Usia perkahwinanku juga sedang menghampiri angka 2 tahun tak lama lagi. Masih banyak yang perlu diperbaiki dari segala segi untuk meraih rumahtangga yang sentiasa di dalam mawaddah wa rahmah dari Ilahi. Kehadiran cahaya mata mengeratkan lagi kasih sayang di dalam ikatan perkahwinan selain hadirnya dengan satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul dengan penuh teliti.

Semoga mahabbah di dalam rumahtangga kami akan sentiasa dirahmati Allah s.w.t, insyaAllah. Ameen.

*Sekadar peringatan buat diri yang sentiasa alpa.

RESEPI MENYUBURKAN KASIH SAYANG DALAM KELUARGA
- Mentradisikan pergaulan yang baik dalam keluarga
- Membantu keluarga dalam pekerjaan rumah
- Menghidupkan suasana belajar-mengajar dalam rumah
- Menghidupkan ibadah & syariat dalam keluarga
- Tidak menampakkan konflik di depan anak-anak

CARA MENGHINDARKAN DIRI & KELUARGA DARI TIPU DAYA SYAITAN:
x Berlindung kepada Allah SWT dari kejahatan syaitan
x Ikhlas hanya kepada Allah SWT
x Istiqamah dalam Islam
x Tawakkal kepada Allah SWT
x Menjadikan iblis & syaitan sebagai musuh abadi

Thursday, December 09, 2010

Tumbuh Gigi

Assalamualaikum.

Petang semalam ummi dan ayah ambil Aisyah di rumah pengasuh juga merangkap gelaran Opah Su dan Tok Su pada Aisyah. Bukan main suka dia bila nampak ummi dan ayah datang. Tersenyum lebar. Kalau tengah duduk, boleh merangkak meredah je apa yang ada kat depan dia. Kalau tengah didukung, dia akan meronta-ronta nak suruh ummi atau ayah ambil dia sambil tersenyum dan goyang-goyang kaki.

Masa ummi ambil, Aisyah tengah senyum, ummi nampak macam ada sesuatu warna putih di gusi dia. Wah, anak ummi dah tumbuh gigi ! Tumbuh kat bahagian atas sebelah kiri.

Nampaknya Aisyah mula tumbuh gigi masa umur 8 bulan 2 minggu. Memanjat kusyen di rumah dan apa-apa sahaja yang boleh dipegang untuk dia berdiri pun dah pandai.

Begitulah perkembangan anak ummi dan ayah setakat ni. Dinukilkan di dalam blog ummi untuk dijadikan kenangan bila Aisyah dah besar nanti. Ummi dan ayah mendoakan agar Aisyah membesar dengan sihat dan menjadi anak solehah yang diredhai Allah hendaknya, amin.